KUANTAN - Seorang bapa bersama anak lelakinya antara lima kaki judi yang diheret ke Mahkamah Majistret Kuantan, kelmarin, atas tuduhan bermain judi secara terbuka di hadapan sebuah rumah di Kampung Tengah di sini, 20 Februari lalu.

K Annamalai, 41, bersama anaknya, A Ravikumar, 19, dari Kampung Tengah dan rakan mereka, B Shatisvikneswar, 20, dari Taman Tas serta dua remaja bawah umur mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Farahah Ahmad Nazari di hadapan Majistret Rini Triany Mohamad Ali.

Bagi kesalahan itu, mereka didenda RM400 setiap seorang atau dua minggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bermain judi daun terup secara terbuka di hadapan sebuah rumah kira-kira jam 11.50 malam pada tarikh seperti yang dinyatakan.

Dalam serbuan Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, polis turut merampas wang tunai RM39 di atas meja disyaki wang pertaruhan.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 1990).

Jika sabit kesalahan individu terlibat boleh dihukum mengikut akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.