KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang sedang mencari motosikal sepupunya, yang dipinjamkan kepada seorang warga asing, terkejut apabila menemui jari telunjuk manusia dipotong berhampiran kenderaan itu, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11 malam di ladang kelapa sawit Kampung Tapah, Sungai Tong, Setiu itu akhirnya turut membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki sudah berulat dipercayai warga Indonesia yang dibunuh kejam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, jari telunjuk berkenaan dipercayai milik mangsa dikenali sebagai Hery yang dilaporkan meminjam motosikal sepupu pengadu Rabu lalu.

“Bagaimanapun, sejak hari itu mangsa tidak pulangkan motosikal dipinjam lalu pengadu mengambil keputusan mencarinya. Berdasarkan maklumat orang kampung, motosikal itu dilihat berada di ladang kelapa sawit Kampung Tapah, Sungai Tong.

“Pengadu akhirnya pergi mencari motosikal itu namun terkejut apabila menemui jari telunjuk manusia dan kesan darah berhampiran kenderaan itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini kelmarin.

Terkejut dengan penemuan itu, pengadu berusia 32 tahun dan bekerja sendiri itu menghubungi polis.

Menurut Manoharan, pasukan polis yang tiba di tempat kejadian cuba mengesan Hery namun menemui mayat mangsa dalam sebuah parit sedalam 8 kaki (2.2 meter), kira-kira 70 meter dari tempat motosikal itu dijumpai.

“Mayat mangsa yang sudah berulat ditemui dengan kecederaan parah pada bahagian kepala, dahi dan paha dipercayai ditetak dengan menggunakan senjata tajam, selain jari telunjuknya dipotong,” katanya.

Beliau berkata, keadaan parit yang curam menyukarkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dan ia hanya boleh dilakukan pada jam 7.30 pagi semalam dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat. Kita masih lagi mengenal pasti identiti mangsa yang dipercayai warga Indonesia dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.