Buruh tikam pembantu kedai kain positif dadah
Albert Majang dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan dua tahun pengawasan polis oleh Mahkamah Majistret, semalam setelah didapati positif dadah.
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh yang didakwa menikam seorang pembantu kedai kain sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Pusat Niaga Paya Keladi, Jalan Paya Keladi, di sini, 1 Februari lalu, didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Bagi kesalahan itu, tertuduh, Albert Majang, 23, dari Kampung Melikin, Serian, Sarawak dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan dua tahun pengawasan polis oleh Mahkamah Majistret, di sini.

Tertuduh didakwa menggunakan dadah berbahaya itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 5.30 petang pada 2 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, di Mahkamah Majistret pada 10 Februari lalu, dia turut didakwa membunuh Wan Manisah Wan Mansor, 27, di tingkat bawah Kedai UB Textile Sdn Bhd, Lot PT 3502 (7), Pusat Niaga Paya Keladi, Jalan Paya Keladi, di sini, 8 malam pada 1 Februari lalu.

Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan seorang pembantu kedai kain maut ditikam seorang lelaki di sebuah kedai kain selepas mengalami kecederaan parah di dada, perut dan kepala.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa yang juga anak sulung daripada 11 beradik dan bekerja di kedai berkenaan sejak tiga tahun lalu meninggal dunia jam 2.10 pagi ketika menerima
rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.