Search This Blog

Thursday, July 12, 2012

Buka pintu nampak asap



Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my
         
KUANTAN: “Ketika hendak membuka pintu, saya terdengar bunyi seperti benda terbakar dari bahagian atas rumah sebelum melihat asap tebal menyebabkan saya lari meminta bantuan jiran,” kata Supianti Supandi, 40, mangsa kebakaran membabitkan dua rumah teres di Taman Tas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, rumah sewa didiami Supianti bersama kakaknya, Norhayatie, 42, dan lima anak mereka berusia antara enam dan 11 tahun mengalami kerosakan teruk terutama pada bahagian bumbung disebabkan kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.


Supianti berkata, ketika kejadian, dia baru pulang selepas menjemput anaknya dari sekolah berhampiran sebelum membuka pintu.

Katanya, dia terdengar bunyi seperti benda terbakar disusuli asap menyebabkan tidak jadi masuk ke rumah lalu berlari meminta pertolongan jiran menghubungi bomba.


“Ketika berlari meminta bantuan jiran, saya sempat melihat api marak di atas bumbung rumah dan tidak mampu berbuat apa kerana keselamatan diri dan anak lebih penting.


“Ketika kejadian, kakak tiada di rumah kerana bekerja dan anaknya masih di sekolah,” katanya yang bekerja di kedai dobi berhampiran.

Supianti berkata, dia bersyukur kerana terselamat walaupun perabot di dalam rumah itu rosak.


“Saya baru enam bulan menyewa di rumah ini dan setiap pagi sebelum keluar bekerja kami sentiasa memastikan peralatan elektrik dan dapur gas ditutup, namun tidak menyangka kejadian ini berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mohd Lazim Jaaffar berkata, hasil siasatan awal pihaknya percaya kebakaran berpunca daripada litar pintas akibat sistem pendawaian elektrik yang bermasalah.


Katanya, kebakaran bermula pada bahagian siling sebuah rumah teres sebelum merebak ke rumah sebelah.


“Pihak kami menerima laporan kejadian itu pada jam 1.20 tengah hari dan tiba di lokasi kira-kira dua minit kemudian dengan satu jentera bersama sembilan anggota.


“Api dipadamkan sepenuhnya 20 minit kemudian,” katanya.


Mohd Lazim berkata, ketika kejadian dua rumah itu kosong kerana penghuninya keluar bekerja dan siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian dialami mangsa.

No comments:

Post a Comment