Search This Blog

Saturday, July 14, 2012

Bilionair didakwa dalam kes rasuah



RAYMOND keluar dari sebuah mahkamah di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Dua beradik bilionair yang merupakan pengerusi bersama firma hartanah Sun Hung Kai Properties, Thomas dan Raymond Kwok didakwa semalam dalam kes rasuah yang dianggap skandal terbesar di sini.
Bekas Ketua Setiausaha Pentadbiran Hong Kong, Rafael Hui turut didakwa dalam kes itu.
Kes rasuah itu melibatkan keluarga paling berpengaruh di Asia dan firma hartanah kedua terbesar di dunia dengan modal pasaran bernilai AS$32 bilion (RM101.9 bilion).
Dakwaan itu melibatkan pembayaran dan pinjaman lebih AS$4 juta (RM12.7 juta).
Dakwaan itu berlaku sehari selepas agensi antirasuah Hong Kong, Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah menangkap setiausaha pembangunan pulau ini kerana disyaki terlibat dalam rasuah.
Dua individu lain turut didakwa dalam kes rasuah tersebut.
Mereka terdiri daripada Ahli Lembaga Sun Hung Kai, Thomas Chan dan bekas ketua pegawai operasi Bursa Niaga Hadapan Hong Kong, Francis Kwan.
Kelima-lima mereka dibebaskan dengan ikat jamin dan diarahkan tidak menghubungi senarai saksi pendakwaan yang diberikan kepada mahkamah.
Kes tersebut kemudian ditangguhkan sehingga 12 Oktober depan.
Lapan dakwaan difailkan terhadap lima tertuduh itu.
Mereka dihadapkan di hadapan seorang hakim.
Kelima-lima mereka menyatakan memahami semua dakwaan tersebut.
Raymond dalam satu kenyataan menyatakan beliau percaya tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Sistem kehakiman Hong Kong amat adil. Saya akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan diri saya berhubung tuduhan tersebut," katanya.
Thomas enggan memberikan sebarang komen. - Reuters

No comments:

Post a Comment