Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Berkeras enggan beri kerjasama

Lelaki berkenaan (dua, kanan) enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan dijalankan.
Lelaki berkenaan (dua, kanan) enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan dijalankan.
JASIN - Panik melihat pengamal media mahu merakamkan gambarnya, seorang lelaki berkeras enggan memberi kerjasama kepada anggota penguat kuasa untuk diuji tahap pengaruh alkohol dalam satu operasi, di sini, awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun, lelaki berusia 43 tahun itu berjaya ditenangkan dan akhirnya memberi kerjasama, sebelum polis mendapati tahap alkoholnya melebihi had dibenar untuk memandu.

Lelaki yang memandu kenderaan jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) pada mulanya ditahan selepas dikesan memandu melebihi had laju dibenarkan iaitu 90 kilometer sejam (km/j) pada operasi bersepadu polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lebuh AMJ, Merlimau, di sini.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan awal juga mendapati lelaki yang gagal menunjukkan lesen memandu itu telah empat bulan tidak memperbaharui lesen memandunya.

“Dia dalam perjalanan dari pusat bandar ke Muar, Johor itu memberi alasan tidak membawa lesen memandu, namun selepas semakan dilakukan mendapati lesen memandunya tamat tempoh sejak Mac lalu, selain mempunyai enam rekod saman atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, sebanyak 192 saman trafik dikeluarkan membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 28 saman trafik kerana melebihi had laju diserahkan secara terus kepada pemandu yang ditahan. Manakala baki saman atas kesalahan sama akan diposkan kepada pemilik kenderaan berkenaan," katanya selepas operasi berkenaan selesai.

Ahmad Adnan berkata, lelaki berkenaan ditahan di bawah Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Selain itu, JPJ turut mengeluarkan lima saman membabitkan pelbagai kesalahan dan lima notis arah periksa kenderaan dalam operasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, operasi bermula 12.30 malam dan berakhir kira-kira 3 jam kemudian itu dibuat selepas mendapati ia merupakan kawasan kemalangan.

Katanya, tumpuan diberikan kepada kesalahan memandu melebihi had laju. Seramai lima pegawai dan 39 anggota trafik termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri bersama 13 anggota JPJ terlibat dalam operasi berkenaan.

No comments:

Post a Comment