Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Belum ada petunjuk kesan ejen hartanah hilang



Tong Yong Ching
KUALA LUMPUR 7 Julai - Polis sudah mengambil keterangan daripada keluarga dan rakan sekerja kepada ejen hartanah lelaki, Tong Yong Ching, 45, yang dilaporkan hilang selepas menemui pelanggan di Ara Damansara, dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis bertindak segera menjalankan siasatan untuk mengesan ejen hartanah itu, sebaik sahaja keluarganya membuat laporan pada malam kelmarin.
"Berdasarkan keterangan diambil daripada rakan sekerja dan ahli keluarganya, kita cuba mengesan Yong Ching tetapi belum berjaya mengesannya sehingga kini.
"Polis juga belum menemui kereta yang digunakan mangsa semasa dilaporkan hilang dan petunjuk lain yang boleh membantu untuk mengesannya," kata Arjunaidi ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, keluarga Yong Ching membuat laporan di Balai Polis Kelana dekat sini, memaklumkan lelaki itu tidak pulang ke rumah selepas keluar menemui seorang pelanggan di Ara Damansara kira-kira pukul 5 petang.
Kehilangan ejen hartanah itu disedari keluarganya setelah dia tidak datang menjemput anaknya dari sekolah pada pukul 6.30 petang.
Mereka kemudian membuat laporan polis pada pukul 10 malam hari sama kerana bimbang jika Yong Ching ditimpa sesuatu yang tidak diingini seperti menjadi mangsa penjenayah.
Arjunaidi berkata, orang ramai mempunyai maklumat mengenai ejen hartanah itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment