Search This Blog

Sunday, July 29, 2012

Bayi enam bulan maut tercampak keluar dari kereta

SEREMBAN: Seorang bayi berusia enam bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandu bapanya yang terbabas di Kilometer 232.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat sini. 

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam semalam, Faris Iqbal Abdullah mengalami kecederaan teruk di kepala dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Melaka. 
Bapa mangsa, Faiq Irfan Abdullah, 38, pula patah bahu kiri manakala ibunya Faniseh Mohamad, 35, yang turut berada di dalam kenderaan itu patah bahu kanan dan bengkak di muka dan kedua-dua mereka menerima rawatan di hospital sama. 



Jurucakap polis berkata siasatan awal mendapati kereta Iswara Aeroback yang dipandu bapa mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah PERODUA Myvi menyebabkan kereta dinaiki mangsa hilang kawalan. 


"Akibat geselan itu, kereta yang dinaiki tiga beranak itu terbabas ke kiri jalan dan merempuh tembok batu penghadang jalan menyebabkan mangsa tercampak keluar. 

"Pemandu bersama isteri dan bayi lelaki cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bagaimanapun, bayi itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi tadi," katanya. 

Katanya pemandu PERODUA Myvi terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan. 
Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian masih dijalankan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment