Bantah pelantikan imam
Mohd Fahmy menunjukkan salinan laporan polis berhubung bantahan itu.
LENGGENG - Ahli kariah dan jawatankuasa Masjid Batu Lenggeng yang tidak berpuas hati dengan pelantikan imam 1 dan imam 2 di masjid itu membuat satu laporan polis.

Ahli jawatankuasa masjid berkenaan, Mohd Fahmy Mohd Tamin, 70, berkata, seramai 11 ahli jawatankuasa menyokong tindakan itu.

Menurutnya, laporan itu juga dibuat untuk melaporkan salah laku beberapa pihak yang membelakangkan keputusan ahli jawatankuasa dan pecah amanah.

"Berikutan masalah ini, sejak tujuh bulan lalu pentadbiran masjid menjadi kucar-kacir kerana kami tidak ada imam rasmi.

“Malah aktiviti masjid seperti kuliah Subuh, tahlil, bacaan hadis dan penerangan hadis juga tergendala," katanya.

Mohd Fahmy berkata, pihaknya juga mendesak agar jabatan berkaitan mengisytiharkan keputusan panel temu duga pegawai masjid yang diadakan pada 28 Mac lalu.

"Calon imam yang dikemukakan oleh jawatankuasa berkenaan berjaya dan terpilih oleh panel temu duga. Namun sehingga kini keputusan berkenaan belum diisytiharkan dan kini masjid ini
masih menggunakan khidmat pemangku imam," katanya.

Katanya, diharap pihak berkenaan dapat menyelesaikan masalah sebelum Ramadan bagi mengelakkan aktiviti pada bulan mulia ini terganggu.