Anggota tentera dituduh mencuri senjata di Mahkamah Majistret
Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah, semalam.
KOTA BHARU – Seorang tentera berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri senjata di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini.

Tuduhan terhadap Mohd Syazwan Ibrahim, 27, dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Tertuduh yang beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan
Sumber Manusia, Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur itu dituduh mencuri senjata jenis AUG Styer milik Zulludin Nasip@Zulaini, 27, pada jam 11.20 malam, 28 Mac lalu.

Turut dilarikan bersamanya kelopak yang berisi 20 butir peluru hidup jenis 5.56 MM milik pengadu yang sama.

Susulan tuduhan itu, Mohd Syazwan berdepan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Berikutan itu, Majistret Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri menetapkan sebutan semula pada 13 Ogos depan dan membebaskan tertuduh dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri,Nabilah Nizam.