Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Anak pegawai polis cedera dibelasah



KUALA LUMPUR 7 Julai - Niat baik seorang anak pegawai polis mahu membantu menyelamatkan seorang rakannya yang ditumbuk, berakhir dengan mimpi ngeri apabila dia cedera dibelasah dalam pergaduhan yang berlaku di kawasan sekolahnya di Sekolah Menengah Datuk Mohd. Said Nilai, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Mohd. Najib Zulkarnain, 18, iaitu anak kepada Penolong Penguasa Polis di Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Supritendan Zulkarnain Ismail, cuba membantu seorang rakannya yang dibelasah tiga lelaki tidak dikenali.
Menurut Mohd. Najib, tiga lelaki terbabit yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil telah menceroboh masuk ke kawasan sekolah dan terus bertindak membelasah rakannya tanpa belas kasihan.
"Melihat insiden itu, saya cuba menenangkan kedua-dua pihak agar berhenti bergaduh tetapi malangnya saya pula yang teruk dibelasah sehingga berdarah di bahagian mata dan lebam di muka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Mahkota dekat sini hari ini.
Pelajar tingkatan enam itu mendakwa, punca pergaduhan mungkin disebabkan tindakannya bersama tiga lagi rakan yang dilantik sebagai fasilitator mengawasi pelajar tingkatan tiga telah menegur seorang pelajar kerana melanggar disiplin pada malam itu.
Dakwanya lagi, pelajar terbabit yang tidak berpuas hati dengan teguran itu kemudian menelefon abangnya yang tinggal di kampung berhampiran memintanya datang ke sekolah untuk membalas dendam.
"Ketika itu, sekolah kami sedang mengadakan Program Pembestarian dan Qiamulail untuk pelajar tingkatan tiga serta tingkatan enam sempena peperiksaan yang bakal tiba tidak lama lagi.
"Walaupun ada guru dan ibu bapa yang hadir pada program tersebut, mereka hanya mampu melihat dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghentikan pergaduhan itu disebabkan tiga lelaki yang membelasah kami bersikap terlalu ganas," ujarnya.
Ibu kepada Mohd. Najib, Zainon Adon, 44, memberitahu, dia terkejut apabila dimaklumkan suami bahawa anak keduanya itu cedera dibelasah dalam kawasan sekolah.
Zainon berkata, dia hairan bagaimana orang luar boleh masuk sewenang-wenangnya ke kawasan sekolah yang diawasi oleh pengawal keselamatan selama 24 jam.
Katanya, bimbang dengan keselamatan Mohd. Najib, dia bersama suami membuat laporan di Balai Polis Nilai pada pukul 2 pagi ini.

No comments:

Post a Comment