Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Ajal motor terpelanting

myMetroAjal motor terpelanting:NGERI... lokasi kemalangan yang mengorbankan empat nyawa  di  Jalan Tampin-Gemas kelmarin.
NGERI... lokasi kemalangan yang mengorbankan empat nyawa di Jalan Tampin-Gemas kelmarin.
TAMPIN: “Adik hanya sempat menjaga ibu yang terlantar kerana sakit angin ahmar selama tiga bulan. Dia pindah ke sini sebab mahu jaga ibu, tapi dia pula maut dalam kemalangan,” kata H Mageswary, 36.
Dalam kemalangan ngeri di Kilometer 4 Jalan Tampin-Gemas, di sini, malam kelmarin, adik Mageswary iaitu H Duraiswami, 34, dan isteri, A Mere Minna, 37, serta anak pasangan itu, Kugan yang berusia dua tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh lori.

Lebih malang, dalam kejadian jam 7.30 malam itu, pejalan kaki, Samugam, 60, turut maut akibat terkena motosikal itu yang terpelanting akibat dirempuh.
Mageswary yang ditemui di Rumah Mayat Hospital Tampin, semalam, berkata sebelum nahas itu jam 6.30 petang, Duraiswami, 34, membawa isteri dan anaknya ke bandar ini untuk membeli persiapan upacara sembahyang yang dilakukan setiap Jumaat.

“Dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Repah Baru sejam kemudian, adik saya yang menunggang motosikal terserempak rakannya, Samugam yang berjalan kaki di seberang jalan sebelum berpatah balik.

“Selepas bersembang dengan rakannya, dia mahu menyambung perjalanan apabila lori muatan roti tiba-tiba merempuh motosikal dinaiki tiga beranak itu.
“Samugam yang berada berhampiran turut terkena motosikal yang terpelanting, menyebabkan semua mereka parah. Bunga malai yang dibeli adik saya untuk upacara sembahyang bertaburan di atas jalan,” katanya.

Berikutan kejadian itu, isteri dan anak Duraiswami mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan, manakala Duraiswami dan Samugam mati ketika dirawat di hospital.
Mageswary berkata, keluarga adiknya baru tiga bulan berpindah ke rumah ibunya di Taman Repah Baru, di sini, dari Sabak Bernam, Selangor.

“Dia mahu menjaga ibu yang kini terlantar akibat serangan angin ahmar serta ibu mentuanya yang sakit tua tinggal di rumah sama,” katanya.

Abang Duraiswami, Ganesh, 39, pula berkata pasangan adiknya meninggalkan tiga lagi anak berusia satu, lima dan tujuh tahun.

“Saya terlalu sedih dan tidak sampai hati memberitahu mereka yang ibu dan bapa mereka meninggal dunia.

“Mereka bermain seperti tiada apa-apa berlaku pagi tadi (semalam). Keadaan pasti berbeza apabila mereka melihat mayat ibu bapa dan adik selepas ini,” katanya Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, pemandu lori berusia 31 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal mendapati lori terbabit dari arah Gemas merempuh motosikal mangsa yang baru memasuki laluan dari bahu jalan menuju ke Tampin sebelum itu.

“Wanita dan anaknya mati di tempat kejadian, manakala suaminya dan seorang pejalan kaki mati ketika dirawat di hospital,” katanya.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment