Search This Blog

Thursday, July 12, 2012

Air paras paha



Oleh Nordiana Shafiee
am@hmetro.com.my
         
ALOR SETAR: “Saya membesar di kampung ini sejak hampir 30 tahun lalu dan tidak pernah mengalami air sungai melimpah hingga masuk ke dalam rumah,” kata suri rumah, Norafiza Azmi, 35, dari Kampung Sungai Batang, Jalan Kuala Kedah, di sini, antara mangsa 12 rumah ditenggelami air berikutan hujan lebat berterusan selama lapan jam, kelmarin.

Norafiza berkata, walaupun hujan lebat, air sungai tidak pernah melimpah hingga paras paha dalam rumah seperti yang berlaku dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam.


Dia mendakwa masalah air sungai melimpah itu disebabkan jambatan batu yang menggantikan titi kayu menghalang pengaliran air sungai.

Katanya, titi kayu yang sudah uzur itu digantikan dengan jambatan batu dibina Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), namun pihak berkenaan memasang pembetung kecil menyebabkan aliran air sungai terjejas.


“Lebih memburukkan keadaan apabila hujan lebat sejak kebelakangan ini menyebabkan mereka dilanda banjir merosakkan perabot dan kelengkapan rumah.


“Hujan lebat sejak jam 10 malam kelmarin dan saya menyedari air sungai masuk ke dalam rumah kira-kira jam 1 pagi. Tidak banyak barang sempat diselamatkan dan kami sekeluarga hanya mampu menyelamatkan dokumen penting,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Katanya, jambatan batu itu mula dibina sejak sebulan lalu dan pembetung yang dipasang kecil, ia menghalang air sungai apabila hujan lebat.

Dia berharap Mada membaiki semula jambatan baru itu bagi mengelak penduduk terus dilanda banjir.


Hanisun Shafie, 57, berkata dia menyedari rumahnya dinaiki air kira-kira jam 4 pagi ketika keluarganya sedang nyenyak tidur.

“Hujan lebat sejak malam tadi (kelmarin) dan ketika air sungai melimpah masuk dalam rumah, kami sedang tidur.


Apabila Ketika tersedar, air sudah memenuhi rumah dan kami tidak sempat menyelamatkan peralatan rumah kerana air naik cepat,” katanya.


Hanisun berkata, kejadian itu jarang berlaku dalam kampung mereka dan kejadian terbabit adalah kali keempat dalam tempoh 30 tahun dia tinggal di situ.


Jurucakap Mada ketika ditemui berkata, jurutera pihaknya sudah turun memantau masalah di kampung berkenaan dan mendapati jambatan yang didakwa penduduk kampung itu bukan di bawah tanggungjawab Mada.


“Namun, kita tetap akan membantu mengatasi masalah itu secepat yang mungkin dengan kemungkinan memasang pembetung di jambatan itu bagi memudahkan laluan air sungai,” katanya.

No comments:

Post a Comment