Search This Blog

Monday, July 23, 2012

Aduan kastam makin banyak

PUTRAJAYA: Tindakan tidak adil adalah antara aduan paling tinggi diterima Kastam Diraja Malaysia sepanjang tahun ini, iaitu bermula Januari hingga Jun lalu.
Statistik dikeluarkan laman web jabatan itu mendapati, sebanyak 25 aduan diterima dalam kategori berkenaan berbanding 16 aduan pada tempoh sama tahun lalu, iaitu meningkat sembilan aduan.

Menurutnya, peningkatan aduan awam turut dicatatkan bagi kategori kepincangan pelaksanaan dasar dan kelemahan undang-undang iaitu lapan aduan diterima manakala sepanjang tempoh sama pada 2011 tiada aduan dicatatkan bagi kategori itu.
“Turut mengalami peningkatan adalah aduan awam bagi kategori salah guna kuasa atau penyelewengan iaitu empat aduan berbanding dua aduan pada tempoh sama tahun lalu.

“Malah, peningkatan turut direkodkan bagi kategori kegagalan penguatkuasaan yang mencatat 14 aduan sepanjang tahun lalu sehingga Jun, manakala tiada aduan diterima dalam tempoh sama pada 2011,” katanya.

Sementara itu, enam kategori aduan mencatat penurunan sepanjang tahun ini sehingga Jun berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Bagi kategori kualiti perkhidmatan tidak memuaskan, termasuk kaunter dan telefon, sebanyak tujuh aduan dicatatkan berbanding 40 aduan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Turut berlaku penurunan ialah kategori pelbagai aduan iaitu 16 aduan diterima berbanding 39 aduan tahun lalu,” katanya.
Di samping itu, kategori salah laku anggota awam mencatat 10 aduan berbanding 11 aduan dalam tempoh sama pada 2011, iaitu menurun satu aduan.

“Kategori aduan lain yang mencatat penurunan ialah kekurangan kemudahan awam iaitu dua aduan, manakala sepanjang tahun lalu sehingga Jun 2011 sebanyak 10 aduan dicatatkan.

“Penurunan turut direkodkan bagi kategori kegagalan mengikut prosedur ditetapkan apabila dua aduan diterima, berbanding 12 aduan dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Kategori aduan terakhir yang direkodkan mengalami penurunan ialah kelewatan atau tiada tindakan iaitu lima aduan diterima, berbanding 17 aduan dalam tempoh sama tahun lalu.

No comments:

Post a Comment