Saiful (kiri) membuat pemeriksaan di sebuah premis makanan.
Saiful (kiri) membuat pemeriksaan di sebuah premis makanan.
GEORGETOWN - Sejak awal puasa sehingga hari ketujuh Ramadan, tiga premis perniagaan diserbu Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) gara-gara mengelirukan orang ramai dengan menggunakan perkataan halal dalam premis.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Pengurusan Halal JAIPP, Mohd Saiful Hamizi Mohd Yusof berkata, premis terbabit didapati menggunakan status halal yang bukan mengikut garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, pemiliknya dikenakan notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang mengikut Akta Perihal Dagangan pindaan 2011.

“Antara premis yang diserbu anggota kami bersama KPDNKK, termasuklah kafeteria sebuah kolej swasta sekitar Georgetown.

“Begitu juga dengan sebuah lagi restoran yang agak popular dan menjadi tumpuan umat Islam di sekitar Bayan Baru, turut diserbu dan dikenakan notis gara-gara status halal meragukan,” katanya.

Mohd Saiful Hamizi berkata, selain dua premis makanan berkenaan, sebuah kopitiam juga diserbu hasil laporan maklumat orang awam.

Menurutnya, penyalahgunaan perkataan halal sehingga menyebabkan kekeliruan orang ramai membolehkan tindakan diambil segera.

Bukan itu sahaja, JAIPP juga boleh mengambil tindakan sekiranya mana-mana premis makanan didapati menggunakan logo halal yang meragukan.

“Sekarang terdapat begitu banyak rupa bentuk logo halal, tetapi yang sebenarnya logo halal yang betul berwarna hitam dan putih, namun masyarakat kita masih keliru dengan penggunaan logo ini.

“Tidak dinafikan masih ada yang tertipu dengan melihat perkataan halal tertera di sesebuah premis makanan, sebaliknya ia bukanlah sijil halal sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful bersama beberapa anggota dari Bahagian Pengurusan Halal akan membuat pemantauan dengan lebih ketat terhadap semua premis makanan sepanjang Ramadan kali ini.

Namun, tidak dinafikan tahap kesedaran pemilik premis makanan semakin baik mengenai penggunaan status halal.

Saiful berkata, ia menunjukkan satu perkembangan baik di negeri ini dan juga kebaikan kepada pengguna sendiri.

“Sekiranya terdapat keraguan terhadap status halal, orang ramai bolehlah membuat aduan dengan menghubungi talian 042505451.

“Kami akan siasat segera dan serbuan akan dilakukan bersama KPDNKK,” katanya.