Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

3 lelaki ditahan

myMetro3 lelaki ditahan:JOHOR BAHRU: Selaras senapang patah bersama tiga butir peluru dan dua pistol automatik antara senjata dirampas daripada tiga penjenayah yang diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor selepas menyamun serta memeras seorang wanita warga Singapura dan keluarganya.
Dalam operasi khas jam 5 pagi hingga 12 tengah hari Rabu lalu, polis turut merampas satu lencana berlogo PDRM dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, tiga lelaki berusia 33 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Susulan laporan diterima daripada mangsa berkaitan kejadian menimpanya, kami menubuhkan pasukan khas untuk menjejak penjenayah.

“Hasil risikan serta maklumat awam, kami menyerbu tiga rumah di sekitar Felda Ulu Tebrau dan menahan ketiga-tiga suspek dipercayai dalang kes,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.

Menurut Mokhtar, dengan kejayaan itu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan kes membabitkan warga Singapura itu serta beberapa lagi kes samun lain dilakukan suspek.
Mokhtar berkata, ia berdasarkan siasatan awal pihaknya selain penemuan pelbagai barangan berharga dipercayai milik mangsa samun di kediaman terbabit.

“Selain menemui semula kereta jenis Nissan Sunny milik mangsa, kami merampas kereta jenis Hyundai Optima dilaporkan disamun di sebuah stesen minyak di Jalan Tebrau pada 2 Julai lalu dan sebuah Proton Perdana disamun di Taman Austin Perdana pada 25 Jun lalu. “Pemeriksaan turut menemui 14 telefon bimbit, dokumen pengenalan diri, lesen memandu, kad bank serta kad kredit milik individu dipercayai mangsa samun,” katanya.
Menurut Mokhtar, semakan rekod lalu mendapati semua suspek terbabit pernah ditahan atas kesalahan samun, curi kenderaan, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Dua daripada suspek berkenaan juga disenarai sebagai individu dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes curi kenderaan dan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) di Johor Bahru serta Kota Tinggi.

Mengulas lanjut kejayaan itu, Mokhtar menafikan penjenayah di negeri ini menjadikan warga Singapura sebagai mangsa, sebaliknya beliau menyifatkan kejadian sama boleh menimpa sesiapa saja tanpa mengira kerakyatan.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment