GEORGETOWN - Lebih 100 mat rempit ditahan ketika cuba menyertai lumba hatam di sekitar Padang Kota Lama di sini awal pagi tadi.

Polis berjaya menahan mat rempit berusia 16 hingga 25 tahun dalam Ops Kepung dan sekali gus menggagalkan percubaan lumba haram yang diatur di kawasan berkenaan.

Ketua operasi, Inspektor Muhammad Najib Zulkifli berkata, dalam soal siasat, kebanyakannya memberi alasan berada di situ hanya untuk meronda sementara menunggu waktu bersahur.

Beliau berkata, operasi selama dua jam bermula 2.30 pagi itu melibatkan 30 anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur  Laut (IPDTL).

Menurutnya,kesemua yang ditahan termasuk penonton dibebaskan selepas polis mengambil keterangan daripada mereka.

“Polis bertindak berdasarkan maklumat orang awam yang mengatakan remaja berkenaan merempit di situ sejak beberapa minggu lalu termasuk sepanjang Ramadan.

“Ada remaja terbabit lari meninggalkan motosikal masing-masing selepas menyedari kehadiran polis.Terdapat juga beberapa orang nekad melarikan diri dengan melawan arus di jalan raya tetapi cubaan mereka gagal kerana kawasan itu sudah dikepung polis,” katanya.

Muhammad Najib berkata, 30 saman dikeluarkan dalam operasi berkenaan yang melibatkan kesalahan ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi, tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.