Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Warga emas cedera diragut

Warga emas cedera diragut
Ah Moi (kiri) mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Mentakab.
MENTAKAB - Seorang warga emas cedera pada tangan kiri selepas diragut dua pemuda bermotosikal dalam kejadian di Jalan Temerloh berhampiran CIMB bandar Mentakab, malam Rabu lalu.

Mangsa, Lim Ah Moi, 61, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang berjalan kaki seorang diri di laluan tersebut kira-kira jam 9.30 malam, 13 Jun lalu.

Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan menghantar kuih kepada saudaranya di kawasan berhampiran.

“Keadaan pada masa itu sunyi dan gelap, tiba-tiba saya dengar bunyi motosikal datang dari arah belakang.

“Tidak semena-mena saya ditolak oleh pembonceng motosikal terbabit hingga terjatuh.

”Ketika itulah saya dapat melihat kelibat dua lelaki merentap rantai leher saya lalu terus melarikan diri,” kata peniaga kedai makan itu.

Ah Moi berkata, dia kemudian berjalan semula dalam keadaan sakit untuk mendapatkan bantuan beberapa pemuda yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia kehilangan rantai leher yang berharga kira-kira RM3,000 selain cedera di tangan kiri.

Sementara itu, pemuda yang membantu menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Mentakab, Ong Heng Ang 41, berkata, dia menghantar Ah Moi ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah  Hoshas) untuk rawatan lanjut.

Katanya, kejadian ragut yang berlaku di kawasan itu boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan lampu jalan di kawasan terbabit.

“Beberapa minggu lalu juga ada berlaku kejadian ragut di Jalan Moek Hee Kiang dekat pasar malam Mentakab.

“Mungkin individu yang sama melakukan jenayah ini. Apa yang kami harapkan supaya polis dapat menangkap penjenayah yang melakukan jenayah ini dengan segera supaya tidak berulang,” katanya.

Sinar Harian difahamkan mangsa tidak membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpanya. 

No comments:

Post a Comment