Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Wanita dakwa bayar ikat jamin RM20,000 bebaskan abang dari lokap

Wanita dakwa bayar ikat jamin RM20,000 bebaskan abang dari lokap - Semasa - Sinar Harian:

IPOH - Seorang wanita mendakwa membayar wang ikat jamin RM20,000 kepada seorang pegawai polis bagi membebaskan abangnya yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kerana disyaki terbabit dalam kes  dadah.

T.Rajani, 26, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di sini mendakwa beliau diarah oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai 'Insp Faiz' supaya memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun yang dikatakan milik seorang anggota polis dikenali sebagai 'Subramaniam'.

"Bagaimanapun selepas memasukan wang ke akaun berkenaan, abang saya tidak dibebaskan sebaliknya dihantar ke Penjara Taiping dan Inspektor berkenaan gagal dihubungi selepas itu,"  katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Khidmat Aduan Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Adun BN Perak Mohd Rawi Abdullah.

Menceritakan kejadian itu, Rajani mendakwa pada 18 Jun beliau dihubungi seorang lelaki yang hanya di kenali sebagai 'Insp Faiz' yang memintanya hadir ke balai polis Ipoh dan membawa wang tunai untuk bayaran wang jamin, 10 paket milo dan pakaian bagi membebaskan abangnya yang berusia 29 tahun.
 
"Ketika berada di balai polis, seorang anggota polis mengarahkan saya pergi ke sebuah bank berhampiran atas arahan inspektor berkenaan dan saya sekali lagi dihubungi inspektor itu yang mengarahkan saya memasukkan wang itu ke dalam akaun bank," katanya.

Berikutan kejadian itu, Rajani membuat laporan polis Ahad lepas.

Rajani berharap polis dapat menyiasat kes itu kerana wang yang diperoleh untuk membayar ikat jamin bagi membebaskan abangnya itu dipinjam daripada rakan dan saudara mara selain bergadai barangan kemas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Beliau berkata ada orang yang menggunakan nama pegawai polis 'Insp Faiz' bagi tujuan itu yang disifatkannya sebagai satu penipuan.- Bernama

No comments:

Post a Comment