Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Tiga nyawa melayang dalam nahas ngeri

myMetro | Tiga nyawa melayang dalam nahas ngeri:

KUANTAN: “Saya membuat lebih 20 panggilan ke telefon bimbitnya selepas jam 10 malam, tetapi suami tidak membalasnya sehinggalah pada jam 3 pagi, anggota polis datang ke rumah memberitahu suami meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.”
“Saya tidak menyangka sama sekali panggilan yang dibuat suami pada kira-kira jam 9.30 malam itu adalah panggilan terakhir darinya,” Demikian kata Wong Mei Fong, 36, isteri kepada Tang Wai Hoong, 48, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 61, Jalan Kuantan-Segamat, jam 9.45 malam kelmarin.

Tang dari Taman Desa, Air Putih, di sini, maut di tempat kejadian selepas Toyota Prado dipandunya, dihempap sebuah lori dari arah Kuantan yang hilang kawalan selepas bertembung dengan sebuah van dari arah Segamat.
Selain Tang, kemalangan ngeri membabitkan empat kenderaan itu turut menyaksikan kematian dua lagi mangsa iaitu pemandu van, Talib Yahya, 54, dari Sungai Isap Damai, di sini dan pemandu lori, K Chalaparmal, 50, dari Desa Serindit, Kampung Jawa, di sini.

Talib yang memandu van dari arah Segamat, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Chalaparmal pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah, Pekan.

Wong yang ditemui pagi semalam di pekarangan rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, berkata, mendiang suaminya yang bekerja di lombong bijih besi Bukit Ibam, Muadzam Shah berulang-alik dari rumah mereka di Taman Desa ke tempat kerjanya setiap hari dan mangsa biasanya keluar rumah jam 7 pagi dan tiba kembali di rumah pada jam 9 malam.
“Tetapi, pada hari kejadian, dia tidak tiba seperti biasa menyebabkan saya mulai risau dan beberapa kali menghubunginya menerusi telefon bimbit dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Saya mula tidak sedap hati, tetapi beranggapan dia mungkin bertemu rakan ketika dalam perjalanan pulang dan saya tidak terfikir bahawa dia terbabit dalam kemalangan jalan raya,” kata ibu kepada empat anak berusia tiga hingga 15 tahun itu.
Wong yang menjadi suri rumah sepenuh masa itu berkata, suaminya baru enam bulan bekerja di lombong bijih berkenaan dan sebelum itu, Tang bekerja sebagai kelindan lori pasir di bandar ini.

“Mungkin masanya sudah tiba. Memang setiap hari saya mengharapkan dia selamat pergi dan balik dari tempat kerja kerana saya sedar jarak antara tempat kerjanya dengan rumah kami adalah jauh,” kata ibu kepada empat anak berusia tiga hingga 15 tahun itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahya Othman berkata, kemalangan ngeri membabitkan empat kenderaan itu berlaku pada jam 9.45 malam apabila sebuah van dari Segamat bertembung dengan sebuah lori yang membawa simen kering dari arah bertentangan.

Menurutnya, akibat pertembungan itu, lori berkenaan hilang kawalan dan melambung sebelum menghempap sebuah pacuan empat roda di laluan bersebelahan. “Sebuah kereta Proton Waja yang tidak sempat mengelak lori dan kenderaan pacuan empat roda itu turut terbabit dalam kemalangan itu, namun pemandunya hanya cedera ringan,” katanya.

No comments:

Post a Comment