Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

Tiga lelaki larikan van rokok

Tiga lelaki larikan van rokok
Yee Han menunjukkan lokasi van rokok yang diparkir di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Taiping, Bagan Serai sebelum dilarikan kumpulan penyamun
BAGAN SERAI - Sebuah syarikat pengedaran rokok bukan sahaja mengalami kerugian hampir RM100,000, malah seorang pekerjanya nyaris diculik dalam satu insiden samun berhampiran Jalan Taiping, di sini, lewat petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu, tiga lelaki melarikan sebuah van yang mengandungi berpuluh karton rokok berjenama bernilai hampir RM20,000 ketika seorang pekerja sedang mengedarkan stok bekalan rokok di sebuah kedai runcit.
Mangsa, Jamaludin Ismail, 30, secara tiba-tiba didatangi dua lelaki, sebelum diarahkan untuk masuk ke dalam van oleh seorang daripada mereka yang mengacu pisau di pinggangnya.
Mangsa kemudiannya diarahkan untuk memandu van itu ke arah Jalan Bukit Merah dan turut diekori sebuah kereta jenis Proton Perdana sebelum ditinggalkan di kawasan berhampiran.
Penyelia syarikat, Ng Weng Chai, 35, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila van rokok bernilai RM80,000, wang tunai RM2,700 dan empat cek bernilai RM6,000 yang berada di dalam peti besi kenderaan itu.
Jelasnya, wang tunai dan telefon bimbit mangsa turut dirampas dan setelah ditinggalkan di tepi jalan, mangsa terpaksa menumpang motosikal seorang penduduk kampung sebelum menaiki bas untuk membuat laporan polis di Balai Polis Bagan Serai,” katanya sewaktu dihubungi, semalam.
Sinar Harian dimaklumkan, kejadian seumpama ini sudah tiga berlaku di kawasan premis berkenaan dalam tempoh 10 tahun.
Saksi kejadian, Goh Boon Teng, 47, berkata, ketika kejadian dia baru menyerahkan wang berjumlah RM200 kepada mangsa bagi membayar sebahagian stok yang diambil.
Dia yang merupakan pemilik kedai runcit nyata terkejut apabila melihat mangsa meninggalkan kedainya secara tergesa-gesa bersama dua lelaki berusia lingkungan 20an yang keluar dari kereta Perdana mendekatinya secara tiba-tiba.
“Dua lelaki itu terus membisikkan sesuatu ke arah mangsa dan mereka secara tiba-tiba terus meninggalkan kedai saya tanpa sebab,” katanya.
Seorang lagi saksi kejadian, Lim Yee Han, 25, berkata, pada mulanya beranggapan mangsa bersama dua lelaki itu adalah kenalan, bagaimanapun terkejut apabila mengetahui mangsa sebenarnya disamun dan van dilarikan sejam kemudian.
“Saya hairan mangsa kembali semula ke kedai sejam selepas itu dan apabila ditanya, mangsa menceritakan dia disamun dan ditinggalkan suspek di Jalan Bukit Merah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi  mengesahkan laporan kejadian dan kes itu disiasatdi bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment