Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Tiada lagi kelibat ayah

KUALA LUMPUR: “Hari ini (semalam) genap sebulan arwah ayah bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai dan saya reda dia sudah tiada walaupun kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian menimpanya,” kata Mohd Ayman Abdul Wahab, 22, anak ketiga Allahyarham Deputi Superintendan Abdul Wahab Yaacob, 56.
Menurutnya, ketika kejadian itu dia difahamkan arwah ayahnya dalam perjalanan ke Kota Bharu menghadiri mesyuarat sebelum dia terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawanya.

“Saya berdoa semoga ayah ditempatkan dalam kalangan orang beriman tambahan dia meninggal dunia ketika keluar menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian arwah ayahnya di Tanah Perkuburan Sri Sinar, Segambut, di sini semalam.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Taharah Mohamed, 51, dan empat anak. Selain Mohd Ayman, pasangan itu dikurniakan tiga anak perempuan berusia 21 hingga 28 tahun. Mohd Ayman berkata, sepatutnya arwah ayahnya pulang minggu depan, namun hasrat itu tidak kesampaian.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa ayahnya dua minggu lalu ketika arwah pulang ke rumah.

“Ketika itu ayah berkelakuan seperti biasa. Selalunya jika berada bersama, ayah menunjukkan sikapnya tegas. Cuma ketika berjauhan kami dapat melihat kasih sayangnya apabila dia sering menghubungi bertanya khabar.
“Walaupun tegas, arwah peramah dengan semua orang. Dia juga pandai bergurau. Sejak kecil kami empat adik beradik sering berjauhan dengan ayah kerana tugasannya namun itu semua tidak dirasai kerana dia sering pulang ke rumah beberapa kali dalam sebulan,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Abdul Wahab sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan baru sebulan ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

No comments:

Post a Comment