Search This Blog

Thursday, June 14, 2012

Tersenyum dijatuhi hukuman mati

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Iran hanya mampu tersenyum selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap tuduhan mengedar 312.2 gram syabu yang disorokkan dalam sandal ketika memasuki negara ini, dua tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja kilang, Abbas Shirazi, 26, selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Noor Azian dalam penghakimannya berkata, mahkamah menolak keterangan tertuduh ketika membela diri bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan terhadap dadah disembunyikan dalam sandal yang ditemui padanya.

Beliau berkata, alasan tertuduh dia diupah membawa sandal dan pelurus rambut oleh seorang individu di Iran untuk dibawa ke Malaysia sebagai sampel produk perniagaan juga tidak munasabah. “Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan,” katanya.
Sepanjang perbicaraan, enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan.

Mengikut kertas pertuduhan, Abbas didakwa mengedar dadah itu di Kaunter Pemeriksaan Kastam D, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dekat sini, jam 10.25 pagi, 15 Jun 2010.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azamuddin Abd Aziz dari Kastam Diraja Malaysia manakala tertuduh diwakili, Datuk S Sivananthan.

No comments:

Post a Comment