Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

‘Terlalu banyak putar belit’

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh memberitahu Mahkamah Koroner di sini, semalam mengenai punca beliau terlalu mengambil berat mengenai kes kematian pemandu teksi, Baharudin Ahmad, 60.
Menurutnya, ia berikutan terlalu banyak dakwaan mengenai kematian lelaki itu yang diputarbelitkan sesetengah pihak yang tersebar luas dalam Internet menyebabkan pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan siasatan kes itu daripada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Razali Mahmood.

“Banyak dakwaan yang diputarbelitkan di Internet, antaranya gambar seorang lelaki yang pengsan di atas jalan ketika Bersih 2.0 yang dikatakan sebagai gambar Baharudin serta kematian lelaki itu dikatakan berpunca akibat terkena semburan gas pemedih mata dan meriam air.
“Dakwaan lain yang perlu saya perjelaskan mengenai kematian arwah yang konon disebabkan polis dan ambulans sampai lewat sejam selepas Baharudin dikatakan terjatuh di Avenue K,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam mewakili keluarga Baharudin, Ahmad Jufliz Faiza yang mengatakan beliau seolah-olah terlalu berminat dengan kes itu hingga mengarahkan Razali sentiasa memberikan maklum balas mengenai siasatan dibuat terus kepadanya tanpa pengetahuan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman.

Menurutnya, menjadi tanggungjawabnya mengambil tahu semua kejadian yang berlaku dalam kawasan Kuala Lumpur pada perhimpunan Bersih 2.0 kerana ketika itu tugasnya sebagai Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur yang juga komander keseluruhan pada hari kejadian.
Beliau tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Jufliz menyatakan Razali tidak mengikut Kanun Tatacara Jenayah ketika melakukan siasatan itu kerana tidak melaporkan perkembangan kes itu kepada Zulkarnain, sebaliknya terus kepadanya.

Pada prosiding semalam, Amar turut menyangkal dakwaan beliau cuba mengambil alih tugas penyiasatan kes itu daripada Razali dan cuba mengarahkan pegawai itu bagi menutup punca sebenar kematian Baharudin.
“Saya memang ada arahkan pegawai penyiasat lakukan beberapa perkara antaranya meminta dia hadir dan mengikuti bedah siasat dijalankan terhadap lelaki itu serta memaklumkan kepada saya sebarang maklumat dan perkembangan kes ini.

“Selain itu, apakah arahan dimaksudkan peguam, saya tidak pasti,” katanya pada prosiding inkues kematian Baharudin yang dikendalikan Koroner Zulkpli Abdullah.

Saksi inkues ke-34 itu turut menyatakan dakwaan peguam konon beliau merancang punca kematian Baharudin disebabkan sakit jantung sama sekali mengarut dan tidak masuk akal.

“Saya berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 30 tahun, kami berada di sini, bukan untuk menipu atau memalsukan bukti yang ada, tetapi untuk mencari kebenaran,” katanya.

Inkues itu turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh dan Ahmad Ishrakh Saad dan akan bersambung 27 Jun nanti.

No comments:

Post a Comment