Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Terkilan tak luang masa

MACHANG: “Kali terakhir saya berjumpa ayah di Kota Bharu dua minggu lalu dan ketika itu ayah bersikap biasa saja,” kata Farid Ikhwan Abd Kadir, 21, anak sulung kepada Sarjan Abd Kadir Kumin, 48, yang maut dalam kemalangan membabitkan kereta BMW dan Pajero di Kilometer 35, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Labok, di sini, awal semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Abdul Wahab Yaacob, 56, dan suri rumah, Membunga Mamat, 61, turut terkorban. Farid Ikhwan yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, dia mengetahui kejadian menimpa ayahnya yang baru sebulan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai selepas menerima panggilan daripada seorang saudara jam 2.30 pagi sebelum ke tempat kejadian.

“Saya terkilan kerana tidak dapat meluangkan masa secukupnya ketika berjumpa ayah dua minggu lalu,” katanya sambil memberitahu dia berada di Kubang Kerian ketika diberitahu mengenai kemalangan menimpa ayahnya.
Sementara itu, suasana sayu menyelubungi pekarangan Bilik Mayat Hospital apabila ahli keluarga mangsa dan rakan setugas hadir ke hospital berkenaan. Isteri Abd Kadir enggan ditemu bual berikutan masih bersedih dengan kejadian menimpa suaminya.

Di Jerantut, ibu Abul Kadir, Siti Rokiah Mat Alek, 71, berkata sebelum ini terdetik keanehan di hatinya apabila Allahyarham kerap balik ke kampung sepanjang tahun ini kerana kebiasaannya dia jarang berbuat demikian.

“Sebelum ini, kalau dia balik hanya setahun sekali, tapi tahun ini dia tiga kali balik dan pernah menghabiskan tiga hari di kampung.
“Tak sangka pula di sebalik perubahan sikapnya itu, dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berau, Ulu Cheka, semalam.

Siti Rokiah berkata, Abdul Kadir anak keempat dari enam beradik, meninggalkan seorang balu dan lima anak. “Kali terakhir saya bercakap dengan arwah dua minggu lalu iaitu ketika dia menghubungi melalui telefon bertanya khabar. Itulah kali terakhir berbual,” katanya.
Adik Abdul Kadir, Rosmadina Kumin, 44, yang tinggal di Kuantan berkata mereka jarang berbual kerana abangnya itu seorang pendiam.

Jenazah Abdul Kadir dikebumikan di tanah perkuburan Ulu Cheka jam 6.30 petang semalam.

No comments:

Post a Comment