Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

Terkena tembakan jarak dekat

Terkena tembakan jarak dekat
Anggota forensik sedang menjalankan siasatan ke atas kereta milik mangsa.
BUKIT TINGGI - Seorang pengurus pusat refleksologi cedera parah di bahu kanan selepas terkena tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua lelaki yang menaiki motosikal ketika mangsa sedang memandu kereta berseorangan di persimpangan lampu isyarat Taman Bayu Perdana, di sini lewat petang semalam.

Berikutan itu, mangsa dikenali Teo Kian Soon, 40, beralamat di Bukit Tinggi dikejarkan ke Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu kereta jenis Toyota Camry dari Jalan Bayu Perdana menuju Klang sekitar jam 5 petang.

“Ketika sedang memandu, mangsa telah ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki yang menunggang motosikal dan telah mengenai bahu kanan.

“Sebaik tembakan dilepaskan kedua-dua suspek melarikan diri. Mangsa yang mengalami kecederaan di bahu kanan menggagahkan diri dengan memandu keretanya ke sebuah pusat perubatan swasta tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Bagaimanapun isterinya yang tiba tidak lama kemudian membawa mangsa ke HTAR,” katanya.

Jelasnya, siasatan mendapati suspek melepaskan tembakan dari jarak dekat berdasarkan kesan pecah pada cermin tingkap sebelah pemandu.

“Berikutan itu, polis kini sedang menjejaki kedua-dua suspek yang menaiki motosikal dan tidak diketahui nombor pendaftarannya.

“Sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment