Terkejut rumah dilontar bom petrol
Eng Khim menunjukkan kesan terbakar akibat bom petrol.
KULIM - Seorang pekerja swasta berusia 40-an yang tinggal bersama isteri dan tiga anaknya di Taman Rambai, di sini terkejut dengan letupan dan kebakaran yang berlaku di rumahnya.

Kejadian dipercayai berlaku apabila dua lelaki tidak dikenali melontarkan bom petrol ke rumahnya kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Menurut mangsa, ketika itu dia dan keluarganya yang sedang tidur, terbangun setelah terdengar letupan kuat dan ternampak cahaya api menjulang tinggi di hadapan rumahnya.

Katanya, setelah ternampak api, dia mengejutkan kesemua ahli keluarganya untuk menyelamatkan diri dan mengarahkan mereka keluar dari rumah.

"Saya dibantu jiran untuk memadamkan api di pintu rumah kerana khuatir ia akan menyambar kereta kami yang diletakkan di bahagian dalam berpagar. Jika itu berlaku, kebakaran akan lebih serius.

"Selepas memadamkan api saya dapati ada satu lagi bom petrol dibuang di luar rumah saya. Saya hairan kerana sebelum ini tidak mempunyai musuh dan tak pernah meminjam wang dengan manamana ceti haram," katanya.

Menurutnya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulim. Seorang kakitangan awam yang tinggal di hadapan rumah mangsa berkata, dia terdengar bunyi enjin motosikal membuat beberapa pusingan sekitar rumah itu, selain salakan anjing dari rumah jiran lain sejak 12.30 pagi sebelum kejadian berlaku.

“Kami ada nampak dua lelaki menunggang sebuah motosikal meronda kawasan ini dan sesekali memberhentikan motosikal di hadapan mangsa tapi tidak diendahkan kerana beranggapan ia mungkin kawan kepada mangsa.

"Beberapa minit kemudian kami dengar letupan diikuti dengan bunyi kaca pecah. Apabila keluar rumah, kami dapati hadapan rumah mangsa sedang terbakar. Jiran ada ketika itu turut membantu
memadamkan api,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis akan menyiasat kejadian khianat dilakukan oleh suspek terhadap mangsa.

Menurutnya, perlakuan seperti itu sudah lama tidak berlaku memandangkan polis sentiasa membuat rondaan pencegahan jenayah bersama Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM).

“Kita akan mengambil keterangan mangsa. Selain itu, saya akan minta jasa baik ahli PPKM yang bertugas malam untuk membuat rondaan sekitar kawasan itu dan mengarahkan unit peronda
kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk memantau lokasi di situ,” katanya.