Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Terjun tak jumpa pintu

KUCHING: Seorang pemilik kedai cedera teruk ketika cuba menyelamatkan diri dengan melompat dari bilik tidur di tingkat satu, selepas rumah kedai dua tingkat berusia lebih sedekad terbakar jam 5.10 pagi di Jalan Carpenter, di sini, semalam.
Mangsa, Chai Ham Siong, 31, pengsan sebaik tiba di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketika kejadian, mangsa dikatakan tidur dalam bilik di tingkat atas sebelum dikejutkan bahang kepanasan selain asap tebal menyelubungi bahagian rumahnya.
Menurut sumber, kejadian itu disedari anak lelaki mangsa berusia 20-an selepas melihat bapanya dalam kesakitan sebelum membawanya ke HUS untuk rawatan.

“Sebaik tiba di hospital, mangsa pengsan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi kerana cedera di badan, tangan serta kepala dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Mangsa dikatakan bertindak demikian apabila gagal mencari pintu keluar kerana seluruh rumah kedai dipenuhi asap,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.19 pagi sebelum mengerahkan dua jentera dari Tabuan Jaya dan Batu Lintang ke tempat kejadian.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran bermula beberapa minit sebelum api dikawal daripada merebak ke bangunan berdekatan pada jam 6.47 pagi.
“Disebabkan tiada tembok pemisah antara premis berkenaan, memudahkan api menyambar kedai berhampiran. Empat kedai musnah dalam kebakaran itu.

“Setakat ini, kami masih menjalankan siasatan termasuk jumlah kerugian dan punca kebakaran,” katanya.

No comments:

Post a Comment