Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Tercurah minyak panas

myMetro | Tercurah minyak panas:

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang peniaga kuih membuang minyak panas ke dalam longkang di luar rumahnya membawa padah apabila dia tergelincir sebelum minyak berkenaan tercurah pada badannya dalam kejadian di Kampung Alur Tembesu, Dungun, kelmarin.
Sebelum kejadian, Abdul Wahab Shahul Hamid, 63, yang baru selesai menggoreng kuih kayu keramat dikatakan terlupa mematikan api dapur gas sebelum minyak panas di dalam kuali disambar api berkenaan, kira-kira jam 5.30 pagi.

Mangsa yang terkejut melihat api marak di dalam kuali cuba menggunakan gayung aluminium untuk membuang minyak panas kerana berfikir langkah itu mampu memadamkan api.
Namun, tindakannya bukan saja tidak berhasil, malah badannya tercurah minyak panas selepas tergelincir ketika melalui lantai licin yang dipenuhi sisa minyak berkenaan.

Bapa kepada lima anak itu yang ditemui di Wad Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam, berkata dia melecur 40 peratus pada badan, tangan dan kaki akibat tercurah minyak panas berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia panik bagi memadamkan api yang marak di dalam kuali berisi minyak panas itu.
“Tanpa berfikir panjang, saya mencapai gayung aluminium untuk membuang minyak panas ke dalam longkang di luar rumah.

“Selepas dua kali menceduk minyak panas itu, saya tidak menyedari ada minyak tertumpah di atas lantai dapur menyebabkan saya tersembam sebaik memijak lantai yang licin.
“Lebih malang, gayung berisi minyak panas yang dipegang turut terlucut daripada genggaman dan tertumpah atas dada serta kaki saya,” katanya yang pengsan selepas kejadian itu.

Menurut anak kedua mangsa, Mohd Hakimi Zaidi Abdul Wahab, 20, dia yang berada di dalam rumah segera mendapatkan bapanya sebaik terdengar jeritan lelaki itu.

Katanya, minyak panas itu menyebabkan tangan kanan dan badan bapanya menggelupas teruk.

“Saya membawa ayah ke Hospital Dungun sebelum doktor meminta kami merujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut kerana kecederaannya serius.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana insiden itu tidak meragut nyawa ayah,” katanya yang ditemui di HSNZ, semalam

No comments:

Post a Comment