Search This Blog

Saturday, June 2, 2012

Tempah songket dapat tisu

Tempah songket dapat tisu - Utara - Sinar Harian:

Tempah songket dapat tisu
Abdul Rahim (tengah) dan Roslee (kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas dari sindiket berkenaan.
GEORGETOWN - Lain yang ditempah lain pula yang diterima. Itulah yang terjadi kepada seorang mangsa apabila hanya menerima 120 gulung tisu tandas setelah membuat tempahan 120 helai kain songket daripada seorang pembekal.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar  berkata, mangsa adalah salah seorang daripada 51 kes yang dilaporkan selepas diperdaya oleh satu sindiket ala ‘macau scam’ yang bergiat aktif di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, hasil laporan yang dibuat oleh mangsa, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah  Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Seberang Perai Utara berjaya mengesan dalang berkenaan.

Beliau berkata, operasi yang dilakukan  sejak pertengahan tahun lalu berjaya menahan lima suspek yang terlibat dalam sindiket itu. Pada 30 Mei lalu polis erjaya  menahan ‘mastermind’ kumpulan berkenaan yang juga seorang warga Pakistan.

Menurutnya, sindiket itu akan menyamar sebagai pembekal barangan sukan, kain songket, kain samping atau baju sukan. Mereka akan  menghubungi mangsa dan menawarkan produk.

“Beberapa jam kemudian, suspek yang sama akan menghubungi mangsa dengan menggunakan telefon lain buatan China yang mempunyai perisian yang mampu menukar suara bagi  tujuan penyamaran.

“Mereka akan menyamar sebagai guru sekolah dan menawarkan mangsa untuk membekal barangan dalam kuantiti banyak. Suspek akan membuat tempahan dalam masa yang singkat dan menyebabkan  mangsa  tergesa-gesa untuk menyediakannya,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik. Abdul Rahim berkata, bagi meyakini mangsa, suspek akan menghantar bank draf palsu yang diisi atasnama dan nombor akaun mangsa  melalui faks atau emel. Menurutnya, mangsa yang terpedaya akan menghubungi suspek yang menyamar sebagai pembekal bagi membuat tempahan.

“Suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran secara dalam talian (online) ke akaun yang diberikan dan mengatakan barangan yang ditempah akan dihantar dengan segera melalui syarikat penghantaran,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini 51 orang mangsa sudah terpedaya sindiket  itu dan paling banyak adalah dari Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. “Sejak operasi dilancarkan, enam tangkapan dibuat dan dua daripadanya adalah penjawat  awam. Kesemuanya berusia antara 25 hingga 40 tahun,” katanya. 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment