Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Tanam bangkai kucing bawa penemuan rangka bayi



KLUANG 29 Jun - Tindakan seorang penduduk menanam bangkai kucing di belakang sebuah warung di Kampung Baru di sini, membawa kepada penemuan mayat bayi yang ditanam sejak dua bulan lalu di kawasan itu.
Siasatan polis kemudian membongkar bayi tersebut adalah anak kepada seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang tidak lagi bersekolah dan tinggal kira-kira 20 meter dari lokasi mayat bayi itu ditemui.
Bayi malang tersebut dipercayai dilahirkan hasil hubungan sulit remaja itu dengan teman lelakinya, seorang penganggur berusia lingkungan 20-an dan polis sedang memburu lelaki terbabit.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, seorang penduduk lelaki berusia lingkungan 40-an menghubungi polis kira-kira pukul 11 pagi Isnin lalu, memberitahu terhidu bau busuk dipercayai mayat manusia di Kampung Baru.
"Lelaki itu pada mulanya hendak menanam bangkai kucing di satu lorong di belakang warung tetapi selepas baru sedikit dikorek, dia terhidu bau yang sangat busuk lalu menghubungi polis.
"Polis kemudian menggali kawasan itu dan menemui satu rangka dibungkus dalam plastik berwarna merah yang kemudiannya disahkan sebagai rangka bayi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Abdul Majid berkata, siasatan forensik mendapati bayi itu ditanam sejak dua bulan lalu ketika baru dilahirkan, namun belum ada kepastian sama ada ia mati akibat dibunuh atau ketika dilahirkan.
Beliau memberitahu, polis menahan ibu kepada bayi itu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya sekali.
Menurut beliau, ibu bapa remaja perempuan itu telah berpisah dan suspek tinggal bersama bapa dan kakaknya.
Katanya, soal siasat menunjukkan bapa suspek yang bekerja sebagai buruh dan sering pulang lewat ke rumah, mengesyaki remaja itu mengandung tetapi setiap kali diajak ke hospital, suspek akan memberikan pelbagai alasan.

No comments:

Post a Comment