Search This Blog

Thursday, June 14, 2012

Singkap pintu rahsia judi Internet

KLANG: Taktik sebuah pusat permainan komputer di Jalan Goh Hock Huat, di sini, membina pintu rahsia di premis mereka untuk melindungi kegiatan judi Internet daripada diketahui pihak berkuasa dipatahkan apabila premis itu diserbu sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam kelmarin.
Dalam serbuan diketuai Asisten Superintendan Emmi Shah Fadhil jam 8 malam itu penemuan dua pintu seakan-akan dinding diperbuat daripada besi membongkar rahsia premis menyediakan mesin slot judi.

Emmi Shah berkata, siasatan mendapati pelanggan tetap saja dibenarkan masuk dengan bahasa isyarat.
“Untuk memasuki tempat komputer mesin slot perjudian Internet itu, pelanggan perlu menggunakan pintu besi gelongsor yang ditutup dengan langsir.

“Selain itu, pintu besi gelongsor berkenaan hanya boleh dibuka dari luar dan jika pelanggan mahu keluar dari tempat itu, mereka perlu memanggil penjaga premis yang berada di luar.

“Selepas melalui pintu besi gelongsor, pelanggan perlu melalui satu pintu lagi yang dibuat daripada papan lapis,” katanya ketika ditemui selepas serbuan.
Katanya, pelanggan baru tidak perasan kewujudan dua pintu rahsia berkenaan dan hanya bermain permainan komputer, bagaimanapun ia menjadi tumpuan kaki judi Internet dan mesin slot judi.

Emmi Shah berkata, 25 mesin slot perjudian dan 11 set mesin komputer perjudian Internet yang dianggarkan bernilai RM100,000 dirampas dalam serbuan itu.
“Kami mendapat maklumat mengenai kegiatan judi daripada orang ramai dan kami membuat risikan selama seminggu terhadap pusat hiburan itu.

“Susulan itu serbuan dilakukan disertai dua pegawai dan lapan anggota daripada Bahagian Risikan dan Operasi Urusetia NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara ) IPK Selangor.

“Selain rampasan mesin slot dan komputer judi, kami menahan lima penjaga premis itu termasuk tiga wanita berumur 20-an hingga 60-an dengan dua daripada mereka warga asing,” katanya.

No comments:

Post a Comment