Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Si batik di reban itik,si senduk di kolam keli

Si batik di reban itik, si senduk di kolam keli
Ramli (kiri) menunjukkan ular sawa seberat 25 kilogram yang ditangkap di ladang ternakan itik di Felda Kerteh 5.
KEMAMAN – Misteri haiwan ternakan seorang peneroka yang kerap ditemui mati di dalam ladang ternakan dekat sini terjawab, apabila seekor ular senduk sepanjang 1.6 meter dan ular sawa batik sepanjang 4.5 meter seberat 25 kilogram ditemui di dalam ladang terbabit.

Ular senduk dan sawa terbabit masing-masing berjaya ditangkap Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bandar Ketengah Jaya bersama PBS Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Rahmat pagi semalam dan pagi kelmarin.

Pemilik ladang ternakan terbabit, Rahim Hamzah, 57, berkata, dia menyedari kehadiran ular senduk itu apabila terdengar ikan keli yang dipelihara dalam kolam kanvas bersebelahan ladang ternak itiknya menggelupur, sebelum mendapati terdapat seekor ular senduk berada dalam kolam kira-kira jam 8 pagi, semalam.

“Terdapat beberapa ekor ikan keli yang terapung dalam kolam berkenaan kerana ular senduk menyembur bisanya berkemungkinan untuk memakan ikan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Rahim berkata, penangkapan itu menjawab persoalan mengapa haiwan peliharaannya sering dijumpai mati sebelum ini.

Malah menurutnya, itik belaannya sebanyak 1,000 ekor sebelum ini hanya tinggal 800 ekor sahaja kerana dipercayai menjadi mangsa semburan bisa ular tersebut.

Tangkapan ular senduk terbabit adalah kali kedua yang dibuat kerana pagi sebelumnya, seekor ular sawa sepanjang 0.3 meter yang telah memakan telur ayam dan cuba membaham itik berjaya ditangkap kira-kira jam 11.30 pagi.

Rahim berkata, dia menyedari kehadiran ular sawa itu ketika mahu mengutip telur itik peliharaannya yang terletak di ladang sawitnya sebelum bertindak menghubungi PBS Bandar Ketengah Jaya.

Sementara itu, Pengerusi PBS Bandar Ketengah Jaya, Ramli Mat berkata, dia bersama lima lagi anggota segera bergegas ke ladang ternak tersebut apabila dimaklumkan penemuan reptilia terbabit sebelum berjaya menangkapnya.

“Ular sawa itu mudah ditangkap kerana ia tersekat di pukat di dalam ladang. Pagi tadi pula sekali lagi tuan rumah melaporkan menjumpai ular senduk dan kita berjaya menjerat ular terbabit yang terperangkap dalam kolam ikan keli,” katanya.

No comments:

Post a Comment