Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

Remaja godam laman web CIA

LONDON 26 Jun - Dua remaja Britain berdepan hukuman penjara selepas kedua-duanya mengaku menggodam laman web organisasi-organisasi penting.
Ryan Cleary, 20, dan Jake Davis, 19, dilaporkan telah menggodam laman web Agensi Perisikan Pusat (CIA), Pentagon, NHS, Sony, Nitendo dan The Sun.
Pasangan remaja yang merupakan anggota kumpulan penggodam antarabangsa LulzSec itu, melakukan serangan 'gangguan perkhidmatan' dengan menyesakkan laman web yang disasarkan bagi melumpuhkan perkhidmatannya.
Pada Julai lalu, LulzSec telah menggantikan satu berita The Sun di dalam talian dengan pengumuman kematian pemilik akhbar itu, Rupert Murdoch.
Davis dan Cleary ditahan tahun lalu susulan siasatan bersama dijalankan oleh Scotland Yard dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) selepas mendapat maklumat daripada bekas orang kuat LulzSec, Hector Xavier Monsegur yang dikenali sebagai Sabu.
Mahkamah Southwark Crown semalam turut mendengar pengakuan pasangan remaja itu yang berkomplot dengan anggota kumpulan penggodam Anonymous dan Internet Feds untuk melancarkan serangan siber.
Davis yang berasal dari Lerwick, Pulau Shetland dan Cleary dari Wickford, Essex, mengaku bersalah atas beberapa siri tuduhan berkaitan penggodaman komputer.
Cleary turut mengaku bersalah atas empat lagi tuduhan lain, termasuk menggodam komputer-komputer Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di Pentagon.
Kedua-dua mereka bagaimanapun menafikan telah menyiarkan 'data-data sulit yang diperolehi' dalam laman web awam. - AGENSI

No comments:

Post a Comment