Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Raungan isteri kena tembak

SEREMBAN: “Tolong sakit...sakit.” Begitu raungan menyentuh hati seorang jurutol wanita yang mengandung dua bulan apabila parah ditembak penyamun dalam kejadian samun dan tembak berhampiran Plaza Tol Seremban-Labu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.57 malam itu, Nurijah Rosli, 24, dan rakan sekerjanya, Mohd Hafiz Zamri, 26, parah selepas ditembak penjenayah terbabit menggunakan ‘pump gun’ sebaik kedua-dua mangsa selesai syif.

Difahamkan suspek yang lebih daripada seorang terbabit menaiki sebuah kereta ketika melakukan samun itu dan kedua-dua mangsa diiringi seorang pengawal tidak bersenjata.
Suami mangsa, Faizul Abdul Latif, 31, berkata, dia dihubungi rakan sekerja isterinya memberitahu mangsa ditembak penjenayah yang menyamun duit kutipan tol RM2,000.

“Lebih memilukan, saya mendengar jelas isteri meraung kesakitan dalam telefon dan bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaannya.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, saya diberitahu polis, isteri sudah dihantar ke hospital dan melihat motosikal yang ditunggang isteri dipenuhi darah, manakala terdapat beberapa kesan tembakan pada motosikal itu,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam.
Katanya, sebaik tiba di hospital, dia terkejut melihat keadaan isteri yang berlumuran darah, malah isterinya meraung kesakitan ketika doktor mahu membuang peluru di belakang badan.

“Saya bimbang kandungan isteri terjejas dan paling menyentuh hati apabila dia (isteri) trauma memberitahu takut melihat penjenayah mengacu senapang ke arahnya dan meraung. “Patutlah saya berasa tidak sedap hati apabila isteri tidak pulang ke rumah sebaik selesai syif sehingga jam 10.30 malam,” katanya. Faizul berkata, anak sulungnya, Mohd Ashraf Azim, lapan bulan, seperti mengetahui kejadian buruk menimpa ibunya apabila tidak lena tidur dan menangis tanpa henti pada malam kejadian. Menurutnya, isterinya sudah bekerja di tol berkenaan hampir dua tahun lalu dan itu kejadian pertama dialami.
“Tidak sangka penjenayah melakukan perkara itu terhadap wanita mengandung hanya kerana mahu menyamun RM2,000. Saya harap kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua supaya berhati-hati apabila membawa banyak wang,” katanya.

Sementara itu, bapa Mohd Hafiz yang juga anggota polis berpangkat sarjan, berkata, dia diberitahu kejadian itu oleh rakan sekerjanya mengatakan anak sulungnya itu cedera ditembak penjenayah. “Saya bersama isteri terus bergegas ke hospital untuk melihat anak dan kini dia dilaporkan stabil. “Bagaimanapun, Mohd Hafiz dilaporkan hancur tulang paha kanan terkena peluru penabur dan dihantar ke Hospital Serdang, Selangor untuk rawatan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment