Search This Blog

Thursday, June 28, 2012

Rakan mati atas pangkuan

KUALA ABANG - “Dalam keadaan terpinga-pinga saya sempat riba kepalanya, kemudian saya bisik ke telinganya dengan kalimah ALLAH, tapi tiada tindak balas. Melihat keadaannya, saya tahu dia tengah nazak.

Demikian kata Imam Asnawi Ariff, 27, mangsa yang terselamat selepas kereta pacuan empat roda dipandunya terbabit dalam kemalangan yang turut meragut nyawa sahabatnya di Kuala Abang, pagi semalam.

Ketika kejadian, Imam bersama rakannya, Mohd Shukri Salleh, 27, yang juga seorang juruteknik di syarikat Pro Aim Technologies Sdn Bhd beribu pejabat di Kuala Selangor itu dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Pusat Latihan Polis (Pulapol), Rantau Abang untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

Bagaimanapun, selepas melalui satu selekoh di Kilometer 66, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berdekatan pantai Kuala Abang, kereta pacuan empat roda dipandu Imam dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu itu, dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh tembok konkrit.

Imam Asnawi cuba menyelamatkan diri selepas keretanya remuk dan menghampiri rakannya yang parah, dengan sebahagian daripada cuping telinganya dikatakan terkopek. Mangsa ketika itu
dilihatnya terbujur kaku di tepi jalan.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus menerkam ke arahnya lalu mengangkat kepalanya ke atas riba saya. Ketika itu, saya masih merasakan denyut jantungnya, tapi selepas beberapa kali
mengajarnya mengucap dan saya bertambah cemas apabila dia tidak menunjukkan sebarang reaksi,” katanya.

Mengimbas kembali detik cemas sebelum tragedi, Imam Asnawi yang masih trauma dengan tragedi yang meragut nyawa rakan sekerjanya yang berasal dari Tanjung Karang Selangor itu berkata,
ketika dalam perjalanan, arwah banyak berdiam diri selain turut menghabiskan beberapa batang rokok sebelum tiba di lokasi terbabit.

Katanya, malam sebelum bertolak ke Dungun pula, arwah dikatakan telah menutup telefon bimbitnya dan enggan bercakap dengan sesiapa, biarpun isterinya sendiri yang menghubunginya.
Imam berkata, dia tidak menyangka tingkah laku arwah yang agak pelik berbanding biasa itu satu petanda dia akan menemui ajal dalam tragedi kira-kira jam 9 pagi itu.

“Isterinya yang gagal menghubungi melalui telefon bimbitnya telah menghubungi saya dan meminta untuk bercakap dengan suaminya.

“Bagaimanapun arwah enggan melayan, sebaliknya banyak berdiam diri sehingga kami berdua hampir bergaduh atas tingkah lakunya itu, tak sangka pula hari ni dia akan pergi,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dungun, petang semalam.

Mohd Shukri yang duduk di tempat duduk hadapan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

No comments:

Post a Comment