Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Pusat sembelih itik terbakar

BATU PAHAT - Seorang pekerja pusat penyembelihan itik terbunuh dalam kebakaran melibatkan premis tersebut di Jalan Minyak Beku, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Yuti, 33, yang tinggal di bangunan tersebut bersama dua lagi rakan sekerjanya ditemui rentung seluruh badan.
 Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian, rakan mangsa baru bangun dan hendak memulakan kerja sebelum menyedari sebuah meja terbakar di tingkat bawah.
Menurutnya, berikutan api yang semakin marak mereka segera menyelamatkan diri.
“Namun, mangsa yang ketika itu masih tidur tidak dapat menyelamatkan dirinya dan mayatnya ditemui rentung di lantai.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat dan urusan selanjutnya,” katanya.
Din berkata, seorang daripada rakan mangsa melecur hampir 60 peratus bahagian badan dan kini sedang mendapatkan rawatan.
Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada api lilin yang menyambar meja papan di tingkat bawah bangunan terbabit.
“Sehingga kini, siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku, namun siasatan akan terus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid, Sabri Roslan berkata, dua buah jentera dengan kekuatan seramai 34 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian
untuk memadamkan kebakaran.
“Kami menerima panggilan pada jam 5.48 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 6 pagi sebelum api dapat dikawal pada jam 7.05 pagi.
“Seorang mangsa ditemui rentung terbakar di dalam rumah pekerja itu manakala seorang lagi mengalami kecederaan dan seorang lagi terselamat.
“Hasil siasatan awal mendapati kerugian dialami kira-kira RM355,000.
Katanya, orang awam dinasihatkan untuk lebih berhati- hati terutamanya ketika menggunakan lilin bagi mengelak daripada berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

No comments:

Post a Comment