Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Polis kejar 'polis palsu'

Polis kejar 'polis palsu'
Hashim menunjukkan peralatan yang digunakan suspek
NUSAJAYA - Tindakan pantas sepasukan anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang, berjaya memberkas seorang daripada tiga suspek yang menyamar polis dan melakukan samun di Kampung Tiram Duku, Gelang Patah, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Kejadian kejar mengejar suspek oleh anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah terdiri daripada Sarjan Jasmi Sabtu; Lans Korperal Wan Mohd Syamim Ismail dan Konstabel Muhamad Daroh Che Mat sejauh satu kilometer berjaya menahan suspek seterusnya mendapatkan semula barangan samun.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kes itu sekitar jam 1.10 pagi.
Menurutnya, bertindak daripada maklumat itu, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian, seterusnya mendapati dua mangsa diikat oleh suspek terbabit.
“Polis berjaya menangkap salah seorang daripada suspek, manakala dua yang lain telah melarikan diri menggunakan kenderaan.
“Hasil siasatan, polis telah berjaya merampas sebuah kereta jenis Proton Saga yang digunakan suspek untuk melakukan kes samun,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya, di sini, semalam.
Nor Hashim berkata, kumpulan itu didapati terlibat dengan lima kes samun di sekitar kawasan Nusajaya malah dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah sama di sekitar Wilayah Iskandar sejak empat bulan lalu menggunakan kereta jenis Proton Saga dan menyamar sebagai polis.
“Mereka akan melakukan samun dengan cara masuk ke dalam rumah selepas menyamar sebagai anggota polis.
Mereka kemudiannya akan mengikat kesemua mangsa,” katanya.
Pihaknya turut berjaya menemui peralatan yang digunakan suspek untuk kegiatan samun dan beberapa paket lut sinar dipercayai dadah.
Katanya, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis Heroin dan semakan rekod lampau mendapati lelaki terbabit mempunyai lima rekod lampau melibatkan kes dadah.
“Antara peralatan yang ditemui adalah sebatang besi pencungkil, sebilah pisau, besi Allenkey yang diubahsuai, pemutar skru, kikir besi, kunci kereta, gunting pokok bunga, pemetik api, lampu suluh, sebilah parang berukuran 12 inci, beg pinggang, sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM156.
“Seorang suspek yang ditahan ini juga mempunyai satu rekod jenayah (orang yang dikehendaki) bersabit kes dadah.
Polis masih mengesan dua lagi rakan suspek yang masih bebas dan telah dikenali pasti identitinya,” katanya.

No comments:

Post a Comment