Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Pensyarah warga Filipina ke tali gantung

SEREMBAN 14 Jun - Seorang pensyarah wanita warga Filipina meraung selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengedar ganja seberat hampir 12 kilogram, dua tahun lalu.
Tertuduh Aida Dizon Garcia, 55, yang pada mulanya kelihatan tenang, tiba-tiba menangis dan meraung selepas hukuman dijatuhkan oleh Hakim Datuk Zulkifli Bakar.
Mengikut pertuduhan, Garcia didakwa mengedar 11,956 gram ganja di tepi Plaza Tol Seremban dekat sini pada pukul 5.30 pagi, 27 November 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Hakim Zulkifli dalam penghakimannya berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Akhbar pada 29 November 2010 melaporkan, cubaan seorang pensyarah wanita warga asing menyeludup ganja bernilai RM50,000 dengan menaiki sebuah bas ekspres gagal apabila dia ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri dan Bukit Aman.
Hasil pemeriksaan, polis menemui 12 ketulan ganja mampat di dalam beg pakaian yang dibawanya.
Siasatan awal polis mendapati wanita itu yang bekerja di sebuah kolej swasta di ibu negara dalam perjalanan dari ibu kota menuju ke selatan tanah air.

No comments:

Post a Comment