Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Penjaga kedai mati ditembak



Anggota polis dan Unit Forensik memeriksa lokasi dan sebuah kereta Perodua Myvi putih milik mangsa yang ditembak mati di hadapan sebuah sekolah di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR 29 Jun - Seorang lelaki mati ditembak sebanyak dua das oleh dua lelaki bermotosikal ketika menghantar anaknya ke sebuah sekolah di Taman Sungai Besi Indah di sini pagi ini.
Ketika kejadian pukul 7.30 pagi, mangsa berusia 32 tahun berada di dalam kereta Perodua MyVi dan menunggu isterinya yang memasuki sekolah untuk menghantar anak lelaki mereka berusia lapan tahun.
Bagaimanapun tiba-tiba muncul dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC berwarna merah lalu melepaskan dua das tembakan dari jarak dekat ke arah mangsa.
Semasa kejadian, terdapat beberapa saksi yang difahamkan kebanyakannya ibu-bapa murid di sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abdul Razak Elias berkata, mangsa yang bekerja sebagai penjaga kedai runcit dikejarkan ke Hospital Serdang oleh isterinya tetapi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, kira-kira 30 minit selepas itu.
"Pemeriksaan mendapati mangsa mati kerana kecederaan parah di bahagian rusuk kanan dan bahu kiri," katanya ketika pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Difahamkan, selain dua kelongsong peluru, polis turut menemui dua butir peluru hidup di tempat kejadian.
Abdul Razak memberitahu, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan dendam dan percaya jenayah tersebut dirancang rapi.
"Mangsa tidak memiliki rekod jenayah malah menurut ahli keluarga, mangsa tidak mempunyai sebarang musuh. Siasatan lanjut akan diteruskan memandangkan keluarga terutama isteri masih trauma dengan kejadian itu," katanya.
Dalam perkembangan sama, polis turut mengesahkan, tembakan menggunakan senjata api jenis pistol dan terdapat beberapa saksi melihat kejadian.
"Kami merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan kes ini," katanya yang memberitahu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment