Search This Blog

Saturday, June 2, 2012

Pengasuh tinggal sehelai sepinggang

Pengasuh tinggal sehelai sepinggang - Terengganu - Sinar Harian:

Pengasuh tinggal sehelai sepinggang
Beginilah keadaan di dalam rumah Wan Noriah yang hangus dalam kebakaran
tengah hari kelmarin.
KUALA TERENGGANU – “Walaupun saya kehilangan rumah pusaka peninggalan arwah mak yang berusia hampir 13 tahun, namun saya tetap bersyukur kerana anak asuhan saya semuanya selamat,” kata Wan Noriah Wan Mohd, 46.

Kelmarin, pengasuh kepada empat orang kanak-kanak yang berusia antara tiga bulan hingga enam tahun ini bersama suami, Abdullah Omar, 65, tinggal sehelai sepinggang setelah rumah pusaka yang baru didiami tiga tahun lalu hangus dalam satu kebakaran di Kampung Tok Adis, Kuala Ibai, di sini.

Semasa kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Wan Noriah sedang mengemas dapur sebelum dikejutkan jeritan suaminya di dalam rumah memberitahu ada api di dalam salah sebuah bilik di rumah itu.

“Sejurus mendengar jeritan itu, saya terus masuk ke dalam rumah untuk membantu suami yang ketika itu sudah panik dan tidak mampu berbuat apa-apa. Kami seterusnya cuba memadam api yang makin merebak menggunakan air yang diambil dari dapur.

“Bagaimanapun, usaha kami tidak berjaya dan akhirnya kami mengalah lantas bergegas mengambil anak asuhan keluar dari rumah ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Menurut ibu kepada seorang anak ini, ketika itu, dia langsung tidak terfikir untuk menyelamatkan barang berharga yang ada di dalam rumah kerana baginya nyawa anak-anak asuhannya itu adalah lebih penting.

“Saya reda walaupun tidak dapat menyelamatkan barang berharga termasuk barang kemas pusaka, tunai RM1,000 yang baru diambil semalam (Rabu lalu) dan dokumen penting kerana paling utama, kami semua selamat lebih-lebih lagi nyawa anak-anak itu,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan 11, Badrol Hisham berkata, pihaknya menerima panggilan lebih kurang 12 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, rumah separuh kekal itu sudah terbakar 50 peratus dan dengan kekuatan seramai 17 anggota, kami berjaya mengawal keadaan dalam beberapa minit selepas itu,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dan tafsiran kerugian masih dalam siasatan

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment