Search This Blog

Thursday, June 14, 2012

Penganggur menyamar JKM diburu

SEGAMAT: Seorang penganggur yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini diburu polis kerana disyaki mendalangi penipuan dengan menjadikan warga tua dan keluarga miskin yang meminta bantuan kebajikan sebagai sasaran mudah. 

Sejak tahun lalu, lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai memperdayakan belasan mangsa di sekitar daerah ini selepas mengumpan mereka dengan dakwaan dipilih menerima bantuan RM500 daripada JKM.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanafi Daud berkata, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai pegawai JKM bagi meyakinkan mangsa dan meminta bayaran RM150 hingga RM200 sebagai alasan bagi urusan membuka akaun bank untuk urusan bantuan itu.
“Berdasarkan modus operandi, mangsa diberitahu yang mereka diminta hadir ke suatu majlis untuk menerima sagu hati RM500 sebagai bantuan daripada JKM Segamat. Mangsa diminta membayar antara RM150 hingga RM200 atas alasan membuka akaun bank untuk memudahkan urusan pemberian bantuan itu. 

“Suspek juga mendakwa boleh membantu mangsa mendapatkan bantuan seperti bantuan orang tua, ibu tunggal dan miskin tegar. Sebaik menerima wang berkenaan, suspek akan bergegas meninggalkan rumah mangsa sebelum menyedari ditipu apabila tidak menerima bantuan seperti dijanjikan,” katanya di sini semalam. 

Hanafi berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada mangsa, polis membuat semakan sebelum mendapati lelaki terbabit tiada kaitan dengan JKM Segamat seperti didakwa. 

Beliau berkata, susulan kejadian itu, Polis Segamat ini sedang mengesan penganggur, Azhar Nordin, 27, menggunakan kad pengenalan 850122-05-5175 bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh Cawangan Jenayah Perdagangan. 
Katanya, lelaki terbabit yang menggunakan motosikal jenis Honda EX-5 bernombor pendaftaran JKA 1479, gagal dikesan di alamat terakhirnya, 23, Kampung Lembah Bakti, Batu 13, Stesen Tenang. 

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedudukan Azhar diminta menghubungi Polis Segamat, telefon 07-931 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. 

Pegawai JKM Segamat, Ansari Matarsad, berkata ada di kalangan mangsa terdiri daripada penerima bantuan secara bulanan dari JKM berusia di antara 50-an sehingga 70-an. 

“Kes penyamaran serta penipuan ini dikesan meningkat sejak kerajaan mengagihkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 dan dianggarkan kerugian belasan mangsa sekitar Segamat dianggar mencapai RM6,500 sejak tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment