Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Pencuri kebas makanan ringan

MARAN - Seorang peniaga makanan ringan di bangunan gerai buah, Majlis Daerah Maran, dekat Kampung Bintang mengalami nasib malang apabila kedainya dua kali dipecah masuk
dalam tempoh empat bulan.

Peniaga terbabit sebelum ini pernah membuat laporan polis berikutan kerugian RM2,000 apabila karton rokok di kedainya dicuri awal Mac lalu dan semalam, kejadian hampir sama
berlaku lagi.

Pemilik kedai, Zarina Mohamad, 38, berkata, dia menyedari kedainya dimasuki pencuri kira-kira jam 8 pagi selepas mendapati peti sejuk yang menempatkan air tin di tepi dinding di
kedainya terbalik.

“Tin minum bertaburan atas lantai, manakala beberapa makanan ringan hilang dan 50 kad permulaan prabayar hilang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zarina berkata, jeriji besi di belakang peti minuman dibengkokkan dipercayai dilakukan pencuri terbabit untuk masuk ke dalam kedainya.

Katanya, dia mengesyaki perbuatan itu dilakukan individu bawah umur kerana jeriji itu kecil untuk orang dewasa masuk, manakala barangan yang dicuri hanya makanan ringan,
aiskrim dan kad prabayar.

“Saya syak pencuri masuk sekitar jam 3 hingga 6 pagi kerana sebuah kedai masakan panas yang jaraknya kira-kira 100 meter dari sini beroperasi sehingga jam 3 pagi,” katanya.

Sementara itu, peniaga di sebelah kedai Zarina, Mohamad Ali, 64, berkata, dia juga nyaris menjadi mangsa kerana jeriji kedainya dipotong, tetapi individu itu tidak sempat masuk
ke premisnya.

“Saya berharap pekedai di sini mengambil langkah berhati-hati dan tidak menyimpan barangan berharga di dalam kedai,” katanya.

No comments:

Post a Comment