Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Pelajar perempuan bikin gempar

MELAKA: Gempar apabila seorang pelajar wanita sebuah universiti swasta di sini, duduk di atas pagar beranda di tingkat tiga pangsapuri bersebelahan universiti berkenaan sambil menjuntaikan kakinya serta berkelakuan ganjil, termasuk mengeluarkan kata-kata kesat, semalam.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi, pelajar berusia 23 tahun itu mengeluarkan kata-kata kesat memarahi polisi diamalkan universiti berkenaan selain melemparkan beberapa barangan kaca ke tempat letak kenderaan hingga merosakkan sebuah kereta.

Malah, lebih pelik apabila pelajar tahun akhir jurusan undang-undang itu menyanyi ketika duduk di atas berada berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan pantas pengurusan pangsapuri bagaimanapun mengelak kejadian buruk berlaku apabila kakitangan memasuki rumah itu menggunakan kunci pendua lalu menarik pelajar terbabit dari beranda.

Menurut seorang pelajar universiti itu, dia menyedari kejadian ketika keluar dari rumahnya di tingkat enam selepas terdengar sesuatu.

“Saya dengar seperti ada orang buang sesuatu lalu melihat dari kaki lima dan terkejut mendapati terdapat ramai orang berkumpul di bawah.
“Sebaik turun saya terkejut melihat seorang wanita duduk atas pagar beranda dengan kakinya terjuntai,” katanya yang enggan dikenali ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Menurutnya, pelajar wanita itu marah dengan polisi diamalkan universiti berkenaan.
Katanya, dia difahamkan, pelajar terbabit tidak tinggal di pangsapuri berkenaan sebaliknya rumah di tingkat tiga itu didiami rakannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, pelajar itu dipercayai mengalami gangguan perasaan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

No comments:

Post a Comment