Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Pejabat pos mini kena samun

Pejabat pos mini kena samun - Selangor & KL - Sinar Harian:


Pejabat pos mini kena samun
Pejabat pos mini yang disamun dua penjenayah dan kerugian RM13,000.
KUALA KUBU BHARU - Sebuah pejabat pos mini dekat sini kerugian RM13,000 setelah disamun dua penjenayah bersenjata pisau lebih kurang sejam selepas operasi pos dibuka.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kejadian kira-kira jam 9.45 pagi, 27 Jun lalu itu berlaku ketika tiada pelanggan dan hanya seorang kakitangan berada di dalam premis berkenaan.

“Ketika kejadian, hanya seorang kerani wanita berada dalam pejabat pos mini itu manakala seorang lagi kakitangan pejabat pos itu telah keluar membeli makanan. Tiba-tiba dua suspek lelaki
bersenjata pisau masuk dan telah menyapu minyak angin cap kapak ke mata kerani wanita terbabit sebelum mengurungnya di bilik stor.

“Setelah itu, suspek bertindak sendiri membuka peti besi simpanan wang yang dipercayai tidak dikunci dengan kod kekunci dan melarikan wang berjumlah RM13,000,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, mangsa telah diselamatkan rakan sekerjanya yang tiba selepas kejadian sebelum membuat laporan polis.

Menurutnya, bagi membantu siasatan rakan sekerja mangsa ditahan kerana terdapat kemungkinan terlibat sebagai dalang samun berkenaan.

“Kita menangkap seorang lagi kakitangan wanita yang dikatakan keluar membeli makanan ketika kejadian itu untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan terhadap orang kena tuduh (OKT) berusia 36 tahun ini, hanya OKT ini saja yang tahu mengenai duit dalam peti besi itu dan ketika kejadian, kunci peti besi dibiarkan dalam laci pejabat dan tidak dikunci dengan nombor kod.

“Penjenayah juga seolah olah sudah tahu di mana kunci diletakkan dan wang disimpan kerana suspek tidak bertanyakan pada mangsa di mana wang disimpan,” katanya.

Tambah beliau, OKT terbabit memberitahu dia yang membantu mangsa keluar dari bilik stor dengan membuka pintu menggunakan tangan.

Norel berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang berusaha menjejaki suspek menggunakan lakaran wajah serta kesan cap jari.

Sementara itu, tinjauan mendapati pejabat pos mini tersebut ditutup dan masih belum beroperasi.

No comments:

Post a Comment