Search This Blog

Saturday, June 30, 2012

Pakar kunci dari Colombia aktif pecah rumah



KUALA LUMPUR 28 Jun - Pelancong dari benua Amerika Latin kini dikesan aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Lembah Klang malah turut dipercayai melakukan jenayah serupa di Singapura dan Thailand.
Sindiket yang melibatkan ahli berasal dari Colombia itu akan masuk ke negara ini secara sah dan modus operandi mereka adalah menyasarkan rumah atau premis yang ditinggalkan pemilik untuk dipecah masuk.
Difahamkan, setiap ahli sindiket ini juga merupakan 'pakar kunci' yang mahir serta berkebolehan memasuki rumah atau premis tanpa sebarang kesan dan mengambil kesemua barangan berharga.
Terbaru, polis menahan seorang lelaki warga Colombia berusia 30 tahun yang dipercayai salah seorang ahli sindiket ini di sebuah kondominium mewah yang turut menempatkan pusat beli-belah di Solaris Dutamas di sini semalam.
Sebelum penahanan itu, suspek dilihat berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan sebelum dia melarikan diri setelah melihat kehadiran anggota polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Othman Abu Bakar berkata, lelaki itu telah membuang kedua-dua beg yang dibawanya dan melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas terjatuh ke dalam longkang.
"Hasil pemeriksaan dalam satu beg itu, kita dapati ada alatan seperti pemutar skru, spanar, pemotong besi dan peralatan membuka kunci manakala beg yang lain diisi dengan barangan hasil curi.
"Tindakannya yang melarikan diri seolah-olah suspek bersalah melakukan jenayah dan selepas dia ditahan, seorang pengadu membuat laporan polis tentang kejadian pecah rumah di premisnya," katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari.
Mengulas lanjut, Othman tidak menafikan lelaki terbabit merupakan pakar kunci dan dia telah beberapa kali keluar masuk ke negara ini dipercayai untuk melakukan kegiatan itu.
"Kali terakhir dia masuk ke negara ini adalah pada 20 Jun lalu malah berdasarkan pemeriksaan dia juga keluar masuk ke negara Singapura dan Thailand," katanya yang memberitahu polis turut merampas beberapa keping mata wang negara jiran.
Jenayah pecah rumah membabitkan sindiket warga Amerika Latin ini pernah dilaporkan beberapa kali berlaku di sekitar Kajang, Selangor dan bulan lalu polis berjaya menangkap seorang warga Colombia selepas dia cuba mencuri di sebuah rumah di situ.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab sebelum ini berkata, sindiket ini mensasarkan rumah yang ditinggalkan penghuni ketika waktu kerja dan mereka ini pakar membuka kunci.
"Terdapat beberapa kes membabitkan warga Amerika Latin dan mereka ini akan menyewa kenderaan seterusnya berlegar-legar di kawasan perumahan bagi mencari rumah sasaran terutamanya apabila pemilik keluar bekerja," katanya yang percaya ramai lagi ahli sindiket ini masih bebas.

No comments:

Post a Comment