Search This Blog

Wednesday, June 27, 2012

OKU dibelasah dua lelaki

OKU dibelasah dua lelaki
Sufiyah menunjukkan mata anaknya yang lebam akibat dibelasah.
KUANTAN - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dibelasah tanpa belas kasihan oleh dua lelaki apabila dituduh cuba memecah masuk sebuah rumah di Indera Mahkota 2, di sini.

Kamarudin Abdul Karim, 24, yang baru sahaja selesai menjalankan tugas sebagai anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) berkata, dia yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah mengikut jalan pintas, ditahan oleh dua lelaki terbabit sebelum bertindak membelasahnya.

“Tanpa sempat bertanyakan apa-apa, dua lelaki itu terus menumbuk mata, memijak dan menyepak kepala saya seperti bola tanpa belas kasihan.

“Puas saya merayu supaya berhenti pukul saya, namun mereka tidak endahkan. Saya seperti hendak pitam dan badan pula habis berlumuran darah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa baru sahaja selesai minum bersama pasukannya sebelum mengambil keputusan pulang dahulu memandangkan rakan-rakan lain asyik menyaksikan perlawanan bola sepak di warung tersebut.

Kamarudin berkata, dia dibelasah kerana dituduh cuba memecah masuk sebuah rumah hanya kerana dia melalui laluan belakang rumah terbabit yang ketika itu gelap.

Katanya, selepas hampir setengah jam bertarung dengan maut, dia dibantu ibunya, Sufiyah Osman, 53, dan Pengerusi Rukun Tetangga, Ramli Karim, 58, pulang ke rumah sebelum membuat laporan di Balai Polis Indera Mahkota.

Akibat kejadian itu, Kamarudin mengalami lebam di kedua-dua mata selain patah hidung dan trauma setiap kali mengenangkan peristiwa itu.Ibunya, Sufiyah berkata, dia menyifatkan kejadian itu tidak berperikemanusiaan kerana memukul anaknya sehingga separuh nyawa tanpa mempunyai bukti kukuh.

“Lemah longlai tubuh saya melihat keadaan anak yang tidak bermaya dan remuk hati saya kerana ada juga manusia sanggup memperlakukan hal ini tanpa belas kasihan. Hati ibu mana tidak pilu apabila melihat sendiri di depan mata, kepala anak dipijak sebelum disepak seorang daripada lelaki terbabit.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana terlalu terkejut sebelum isteri kepada lelaki berkenaan meminta saya mengambil anak dan pulang ke rumah,” katanya.

Dia berharap lelaki yang membelasah anaknya menerima hukuman setimpal.

“Biar undang-undang yang tentukan hukuman. Kejadian itu memberikan kesan sepajang hidup kepada kami keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih diteruskan.

No comments:

Post a Comment