Search This Blog

Saturday, June 16, 2012

Lima ditahan pecah rumah

JOHOR BAHRU - Lima lelaki ditahan polis cawangan jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nusajaya dan Balai Tanjung Kupang dalam serbuan di sebuah rumah di pangsapuri Kenari, Bandar Baru Kangkar Pulai, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Nor Hashim Mohamad berkata, pihaknya turut berjaya menjumpai semula barang-barang yang disyaki dicuri iaitu sebuah televisyen LCD 32 inci dan satu tangki motosikal.
“Bertindak atas maklumat dan risikan jenayah kes pecah rumah, sepasukan anggota polis cawangan jenayah IPD Nusajaya dan Balai Polis Kangkar Pulai membuat serbuan di sebuah pangsapuri Kenari.
“Lima lelaki berusia 21 hingga 27 tahun berjaya ditangkap di rumah berkenaan. Semasa pemeriksaan dibuat, polis menjumpai barang-barang yang disyaki dicuri iaitu TV LCD yang dicuri bersangkut kes pecah rumah di pangsapuri Merak dan satu tangki motosikal,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di IPD Nusajaya, di sini, semalam.
Menurutnya, kesemua suspek direman semalam untuk siasatan lanjut berkenaan beberapa kes pecah rumah di kawasan Nusajaya dan kawasan Johor Bahru.
Selain itu, katanya, tiga daripada lima suspek didapati positif Syabu, manakala seorang positif heroin.
“Mereka ditahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga lima tahun berserta denda jika sabit kesalahan.
“Jika kesalahan yang dimaksud hendak dilakukan itu adalah kesalahan mencuri maka tempoh penjara itu boleh dilanjutkan hingga 14 tahun atau mana-mana satu kesalahan itu yang dilakukan kali yang kedua atau kemudian bolehlah juga dikenakan denda atau sebatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nor Hashim berkata, pihaknya menahan dua individu berusia awal 20an yang terlibat dengan jenayah curi ‘sport rim’ dengan menggunakan dua buah kereta.

“Siasatan sedang dijalankan. Polis ada membuat rampasan kereta yang digunakan oleh suspek. Tangkapan ini dibuat kerana polis ada menerima laporan berhubung kes-kes curi ‘sport rim’ di Nusajaya,” katanya.

No comments:

Post a Comment