Search This Blog

Saturday, June 2, 2012

Lelaki warga India edar 15 kg ketamin dihukum mati

Lelaki warga India edar 15 kg ketamin dihukum mati:

SHAH ALAM 31 Mei - Seorang pemandu teksi warganegara India dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar lebih 15 kilogram ketamin yang disembunyikan di bawah periuk, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Abd. Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu terhadap Verkatasamy Baskar, 61, selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Dalam penghakiman ringkasnya, beliau menolak pembelaan tertuduh bahawa dua periuk yang mengandungi dadah itu kepunyaan seorang pegawai kastam bernama Varma di India yang dikirimkan kepada seorang lelaki di Malaysia.
Beliau juga berpendapat keterangan tertuduh berhubung barangnya diperiksa oleh pihak kastam sebelum menaiki penerbangan dari India ke Malaysia adalah tidak masuk akal.
Begitu juga dakwaan pegawai kastam itu menawarkan kotak lain bagi menggantikan kotak yang besar dan koyak berisi sari kepunyaan tertuduh dengan syarat dia perlu membawa dua biji periuk ke Malaysia.
Verkatasamy yang dilihat terpinga-pinga sebaik sahaja mendengar hukuman itu bagaimanapun diberi penjelasan oleh jurubahasa termasuk berhubung peluang untuk merayu.
Tertuduh didakwa mengedar ketamin seberat 15.56 kilogram di Kaunter Pemeriksaan D, Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 1.10 petang, 29 Disember 2009.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naziah Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Datuk S. Arunam.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment