Search This Blog

Thursday, June 14, 2012

Lari rempuh 10 kenderaan

AMPANG JAYA: Sekumpulan tiga penjenayah nekad merempuh 10 kenderaan di Pandan Indah, di sini, malam kelmarin dalam usaha melarikan diri, sebelum kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, seorang daripada penjenayah itu ditahan polis.
Sebelum itu, unit peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya sedang menjalankan rondaan rutin berhampiran stesen minyak PETRONAS di Pandan Indah sebelum terserempak sebuah kereta jenis PROTON Waja menggunakan nombor pendaftaran palsu dinaiki suspek yang sebelum ini dilaporkan hilang di Sentul.
Difahamkan, anggota polis bertugas kemudian mengarahkan ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita memberhentikan kenderaan untuk diperiksa, namun mereka memecut laju menghala ke Hata Square, Pandan Mewah dengan merempuh 10 kenderaan yang berada di depan hingga menyebabkan ada di antaranya mengalami kerosakan teruk. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazri Nawawi ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan pihaknya giat menjalankan siasatan lanjut kes itu. 

“Usaha juga sedang dijalankan bagi mengenalpasti identiti dan menjejaki suspek lelaki dan wanita tempatan yang berjaya melarikan diri pada malam kejadian. 

“Kami tidak menolak sebarang kemungkinan mereka ini geng mencuri kereta yang aktif sekitar Lembah Klang kerana dalam pemeriksaan polis ke atas kenderaan yang dinaiki suspek menjumpai kunci pendua dan alat mencuri kenderaan serta nombor pendaftaran kereta dilaporkan hilang di sekitar Ampang,” katanya. 
Siasatan awal polis juga mendapati lelaki warga tempatan yang dicekup pada malam kejadian itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan masih ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment